CLOSE
CLOSE

Lana Nordin Harap Dapat Anak Lelaki Dan Ikut Wajah Suami

Kini mengandung tiga bulan cahaya mata kedua.


  • Share:

Lana Nordin Harap Dapat Anak Lelaki Dan Ikut Wajah Suami
Alami alahan teruk. (Pic: Mohamad Bakar)

Ulang tahun perkahwinan ketiga yang disambut Lana Nodin dan suaminya pada 15 Mei lalu turut menjadi lebih bermakna kerana dikhabarkan dengan berita gembira selepas pelakon dan ahli perniagaan genit itu disahkan hamil. Usia kandungan kehamilannya sudah tiga bulan.

Isteri kepada Mohd Daud McKienzie itu cukup gembira dan teruja dengan perkhabaran berkenaan.

“Sudah nak masuk tiga bulan usia kandungan ini. Saya dapat tahu pun dari bulan pertama lagi. Cuma belum bersedia nak umumkan lagi. Lagipun masih di fasa awal trimester. Bimbang juga kalau jadi apa-apa.

Mahu anak lelaki.

“Saya harap kali ini dapat anak lelakilah. Baru jadi sepasang. Mana tahu dapat anak berwajah macam suami pula. Insya-Allah kalau tiada aral melintang saya akan melahirkan anak kedua ini bulan Disember nanti,” katanya membuka bicara.

Menurut pelakon seksi dengan nama penuh Mazlina Hasan Nodin itu, dia dan suami sebenarnya melakukan perancangan keluarga.

“Selepas Gia sudah dua tahun lebih kini, saya dan suami percaya ini masa terbaik untuk dia dapat adik.

“Malah Gia pun seperti memahami keadaan ibunya yang sedang hamil. Bukan saya saja yang dia mahu peluk erat, orang lain pun dia nak peluk sama,” katanya.

Terbalik dengan ketika mengandung anak pertama.

Berbanding kehamilan pertama, Lana mengakui alahan waktu paginya kali ini agak teruk.

“Masa mengandungkan Gia memang tak ada sangat alahan waktu pagi. Kali ini lain macam teruknya. Suami saya pun terpalit sama, mengidam nak makan mangga masam hari hari.

“Lagak suami saat ini macam dia yang nak melahirkan anak kami. Dia yang muntah dan loya teruk,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini juga jika tiada komitmen kerja dan perniagaan, Lana selesa berbuka puasa di rumah.

“Sejak mengandung ini memang saya kurang ke dapur. Sebelum ini memang ligat saya ke dapur dan ramai tahu saya suka memasak serta berkongsi di video di laman Instagram.  Malah ketika hamilkan Gia, saya sebenarnya suka ke dapur. Pendek kata serba serbi kehamilan kali ini melawan arus kehamilan waktu Gia dulu.

Rancang lahirkan cahaya mata di Malaysia.

“Yang lucunya, terbalik sekarang, suami pula yang rajin ke dapur. Suami juga yang akan memasak juadah berbuka.

“Lagipun dia makan seorang diri jadi tahu apa yang mahu dimakan. Saya sejak mengandung ini juga memang jarang rasa nak makan,” katanya.

Saat ini pun Lana memberitahu dia tidak terlalu teruja melakukan persiapan raya.

“Mungkin konsep persiapannya dua dalam satu. Sambil beraya beli barang keperluan anak kedua juga. Lagipun pada 17 Jun depan saya sekeluarga akan pulang ke Amerika Syarikat.  Jadi kalau raya jatuh pada 15 Jun, dapatlah beraya dua hari di Malaysia.

“Saya pun seperti biasa akan balik ke Malaysia untuk proses melahirkan anak. Saya senang lahirkan anak di sini seperti mana semasa kelahiran Gia. Senang sebab mak dan keperluan lagi mudah di negara kita,” katanya.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top