Rojak Daily Logo
Back to top

Bila Badrul Bicara: Keliru! Gema Gegar Vaganza Atau Sekadar Gegar Vaganza?

Tidak jauh beza, dan pengacaranya, hmmm!

0
comments
Bila Badrul Bicara: Keliru! Gema Gegar Vaganza Atau Sekadar Gegar Vaganza?
Belum ada chemistry yang cukup bagus antara pengacara. (Pic: Comms)

Sudah masuk Minggu kedua Konsert Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua. Tapi ikhlas cakap, tak nampak apa-apa perubahan. Kalau minggu pertama saya tak buat apa-apa ulasan, kita gabungkan sahaja di dalam satu.

Secara peribadi, saya rasa Fikri Ibrahim masih belum layak untuk mengacara GGV. Tidak layak bukan bermakna dia tidak boleh jadi pengacara, tetapi bukan untuk acara sebesar ini. Fikri belum mampu membuat lawak spontan seperti Nabil atau Zizan. Kalau benar-benar dia mahu mengacarakan GGV, dia perlu buat lebih homework.

Fikri perlu bekerja lebih keras.

Ketawa sendiri, memanggil Adeep dengan nama Ippo, terlalu banyak tersasul dan lebih kepada syok sendiri, tidak memberikan kesan yang bagus untuk rancangan seperti GGV. Kalau nak cakap kali pertama, ini sudah musim kedua Fikri mengacara GGV. Serius, Fikri perlu lebih banyak buat homework. Atau mungkin juga pentas ini terlalu besar buat beliau?

Perlu menyokong, bukan berlawan.

Fakhrul bukan asing dalam bidang pengacaraan, tapi mungkin kali pertama mengacara di pentas siaran langsung sebesar ini. Fakhrul sepatutnya memberikan kelainan dalam pengacaraan. Mungkin perbanyakkan berkongsi hadith dan potongan surah Al-Quran, dan bukannya berlawanan melawak dengan Fikri. Perlu ada sokongan antara satu sama lain supaya nampak lebih cantik dan licin.

Duduk semeja dan berbincang.

Kadang-kadang saya rasa masing-masing cuba menonjol diri, dan bukannya input yang bagus kepada GGV. Pada saya, Fikri tidak perlu melawak berlebihan, cukuplah buat orang sedikit ketawa dan tersenyum. Sudah memadai. Begitu juga dengan Fakhrul, lebihkan dalam memberi fakta dan nasihat kerana itu kekuatan anda, serta menyokong Fikri dan Nana. Dan Nana pula, hmmm, buatlah penyeri GGV sambil menyanyikan lagu tema sebelum commercial break.

Harap lebih baik untuk minggu-minggu mendatang.

Memasukkan penyanyi aliran pop dan rock seperti Awi Rafael, Farah Asyikin dan Ippo Hafiz mungkin strategi yang bagus untuk menarik lebih ramai menonton GGV tetapi kalau sekadar menyanyi sahaja saya tidak nampak apa bezanya jika mereka menyertai Gegar Vaganza (GV).

Perlu ada yang berbeza.

Ada orang kata, kalau mereka menyelitkan surah Al-Quran atau hadith dan sewaktu dengannya setiap kali membuat persembahan sama ada sebelum, di pertengahan mahupun di hujung persembahan mereka, ianya akan menjadi bosan. Saya tak setuju! Langsung tak setuju! Saya rasa perkara itu adalah penting dan mungkin sepatutnya diwajibkan kepada setiap peserta.

Apa jua lagu yang diberikan, mereka sepatutnya diwajibkan mencari potongan ayat Al-Quran mahupun hadith yang berkaitan dengan lagu yang mereka mahu nyanyikan. Berilah erti kepada apa yang mereka ingin sampaikan. Jadikan GGV berbeza dengan GV. Mahu tarik minat anak muda dengan lagu-lagu nasyid, ketuhanan, kerohanian, kemanusiaan dan sejagat? Ya, ini yang perlu dibuat. Jika tidak, baik sahaja buat GV.

Standing in the Eyes of the World? Hmmm.

Apa bezanya Adeep Nahar menyanyikan lagu Hijau dalam GGV ataupun di dalam GV? Apa kelainannya Heliza dan Hazwani Helmi menyanyikan lagu Standing in the Eyes of the World dalam GGV jika dibandingkan dalam GV? Apa jauhnya persembahan Ippo Hafiz menyanyikan lagu Rapuh di dalam GGV atau GV? Atau Farah Asyikin dengan lagu Hitam Putih Kehidupan? Jawapannya TIADA BEZA! Yang berbeza adalah saluran tayangannya sahaja.

Persembahan Adeep pun boleh menang di Gegar Vaganza.

Bayangkan kalau mereka ini (sekadar menyebut beberapa nama di atas) dapat menyelitkan potongan ayat Al-Quran di dalam persembahan mereka. Pasti semua mampu lihat perbezaan antara rancangan GGV dengan GV. Maaf, bukan menghentam, tetapi saya mahukan sesuatu yang berbeza. Kalau tidak ada perbezaan, baik ulang tayang sahaja GV musim sebelum ini di Oasis.

Perlu selitkan kelainan dalam persembahan.

Pemilihan lagu juga satu hal. Haish! Surat Cinta Untuk Starla? Standing in the Eyes of the World? Hijau? Kenapa? Ada beratus lagu-lagu ketuhanan, kerohanian, kemanusiaan dan sejagat yang lebih selari dengan nadi Oasis. Cabarlah mereka dengan lagu-lagu yang lebih sukar dan membuatkan mereka lebih bekerja keras. Bukankah hadiahnya RM100,000 untuk juara? Cukupkah dengan cara dan apa yang mereka sampaikan?

Persembahan Brothers mengagumkan.

Contoh paling terbaik adalah persembahan Brothers dengan lagu Kekasih Awal Dan Akhir oleh penyanyi asal Datuk Jamal Abdillah. Diselitkan dengan potongan ayat Al-Quran yang kena dengan lirik lagu, dan membuatkan kita faham bahawa lagu tersebut punyai maksud yang sangat dalam. Pada saya, inilah GGV. Inilah bentuk hiburan di Oasis yang kita cari!

Wah, panjangnya saya menulis. Tak apalah, tak perlu saya buat ulasan tentang konsert GGV minggu kedua. Mungkin saya boleh mulakan untuk konsert ketiga nanti. Cukuplah permerhatian saya untuk dua minggu pertama. Mungkin kalau ada perkara yang baik, boleh diguna pakai oleh pihak yang berkenaan. Kalau rasa mengarut, boleh lupakan saja.

Rindu dengan komen Oki yang penuh makna.

Serius, saya inginkan kelainan dalam GGV. Saya tidak mahu ianya sama dengan GV. Saya rasa GGV boleh memberikan sesuatu yang lebih mendalam secara rohani dan bukan setakat menjadi pertandingan nyanyian biasa sahaja. Saya mahu Oki mampu berkongsi ilmu-ilmu yang dia ada setiap kali dia memberi komen pada para peserta.

Jumpa Lagi!

Bila Badrul Bicara

 
 
Comments