CLOSE
CLOSE

'Niat Tidak Menghalalkan Cara' - DO[S]A Gabung Pelakon Hebat 3 Negara

Berdasarkan tujuh dosa asas: khianat, tamak, nafsu, dengki, derhaka, munafik dan fitnah.


  • Share:

'Niat Tidak Menghalalkan Cara' - DO[S]A Gabung Pelakon Hebat 3 Negara

Buat julung kalinya, Astro tampilkan sebuah siri mini Nusantara premium eksklusif berjudul DO[S]A, sebuah kolaborasi Malaysia dan Indonesia berwajah nusantara.

   

DO[S]A merupakan naskhah asal dua orang karyawan hebat, saudara Saniboey Mohd Ismail dan Salman Aristo, yang turut bertindak sebagai Penulis Skrip. Salman, satu nama yang cukup disegani di Indonesia merupakan penulis skrip untuk karya-karya pecah panggung seperti ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Garuda di Dadaku’ dan ‘Sang Penari’. Lebih istimewa, DO[S]A turut mendapat sentuhan daripada Pengarah Terbaik Festival Filem Indonesia 2011 iaitu Ifa Isfansyah.

   

Barisan hadapan DO[S]A juga dibarisi pelakon-pelakon hebat gabungan tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura. Nama-nama seperti  Dato’ M.Nasir, Remy Ishak dan Daniella Sya dari Malaysia, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama dan Tegar Satrya dari Indonesia, serta Shenty Feliziana dan Hisyam Hamid dari Singapura digabungkan untuk mencipta fenomena. 

   

Siri original yang bergenre aksi ini berlatarkan lapan asas utama yang mendasari setiap episod; ‘Khianat’, ‘Tamak’, ‘Nafsu’, ‘Dengki’, ‘Derhaka’, ‘Fitnah’, ‘Munafik’ dan ‘Fitnah’. Kelapan-lapan ini memperkasakan slogan utama DO[S]A,
“Niat Tidak Menghalalkan Cara”.

   

DO[S]A boleh didapati di platform digital, on demand’ dan Astro GO, serentak dengan tayangan di televisyen menerusi Astro First saluran 480 dan di platform NJOI. DO[S]A merupakan naskhah Nusantara pertama di bawah slot ‘An Astro Original Series’ dan bakal bersiaran mulai 14 Februari ini. Dengan hanya RM 19.10 (termasuk 6% GST), penonton boleh menikmati kesemua lapan episod (berdurasi satu jam untuk setiap episod) dengan berulang kali dalam tempoh 10 hari dari waktu pembelian.

 

Sipnopsis DO[S]A

DO[S]A mengisahkan tentang empat beradik dibesarkan oleh bapa tunggal mereka, Latif (Dato’ M. Nasir), dengan nilai-nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat, dan disiplin persilatan. Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisham Hamid), dan Fara (Shenty Feliziana) hidup bersama bapa mereka dipelusuk paling sunyi Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di situ, mereka menjalani kehidupan hampir tersembunyi daripada masyarakat, berlatih ilmu persilatan hari demi hari. Seolah-olah bersiap-siaga untuk menghadapi sesuatu. Rutin harian yang memerlukan adik-beradik ini bertumbuk, bertendang dan berhayun parang sesama sendiri akhirnya turut mewujudkan ketegangan di antara mereka di luar gelanggang.

 

Perhubungan keluarga ini semakin bergolak apabila Fara berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama), yang tiba dari Jakarta semata-mata untuk berjumpa dengan Latif. Dalam usaha Arian melembutkan hati Fara untuk membawanya bertemu dengan Latif, mereka menjadi semakin rapat. Menyedari akan hal ini, abang sulung Fara, Fuad yang seolah-olah mengetahui tujuan Arian mencari Latif menghalang Fara untuk terus bertemu dengan Arian. Fuad kemudian bertindak mengusir Arian pulang ke Jakarta. Menjanjikan bahawa Latif tidak mahu lagi ada kaitan dengan ‘orang-orang seperti Arian’.

 

Berang dengan tindakan Fuad, Fara bertindak mengekori Arian ke Jakarta, tanpa mengetahui bahaya yang menanti dirinya di situ. Sebaik sahaja Fara keluar daripada pintu ketibaan di lapangan terbang Jakarta, dia terus diculik, dihumban ke dalam van, lalu dikurung di dalam sebuah gudang.

   

Tidak mengetahui nasib adik mereka, Fuad, Farid dan Fahad dihantar Latif ke Jakarta untuk membawa adik mereka pulang. Di sana, ketiga-tiga beradik itu sering mendapati diri mereka diserang tanpa sebab yang pasti, sekaligus memaksa mereka untuk mempertahankan diri di dalam pertempuran-pertempuran yang ganas. Arian yang baru mendengar mengenai berita penculikan Fara turut berganding bahu membantu abang-abang Fara. Semakin lama mereka di Jakarta, semakin banyak yang mereka mula fahami tentang asal usul keluarga mereka dan siapa bapa mereka yang sebenarnya. Sebelum mereka sedari, mereka terjerumus di tengah-tengah pergelutan kuasa di dalam dunia kongsi gelap Jakarta. Hanya mereka yang mampu menamatkan perang ini, walau sebesar mana pengorbanan yang diperlukan.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top