Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Penyanyi Angkatan Baru Kuasai Anugerah Juara Lagu

Buktikan mereka bukan sekadar tempelan. They’re here to stay!

0
comments
Penyanyi Angkatan Baru Kuasai Anugerah Juara Lagu

Bertahun-tahun saya menonton Anugerah Juara Lagu, sama ada di kaca televisyen, secara langsung di dewan mahupun di stadium, dan saya berani katakan Anugerah Juara Lagu ke32 (AJL32) antara yang terbaik pernah saya saksikan.

Persembahan pembukaan Stacy memukau.

Sampai sahaja di Stadium, tidak ada kusut masai dengan persembahan pra konsert di luar stadium. Peminat berpusu-pusu dengan pelbagai gaya dan fesyen tanpa rasa bingit di telinga. Masing-masing teruja untuk menantikan anugerah berprestij ini. Seronok mendengar pelbagai pendapat dan pandangan mereka tentang lagu yang bakal menang, siapa yang mampu meraih anugerah vokal terbaik dan sebagainya.

Bawa tiga lagu.

Saya teruja dengan barisan finalis pada tahun ini. Campuran antara penyanyi baharu dan penyanyi lama pastinya menerbitkan sisi pertandingan yang berbeza. Khai Bahar, Haqiem Rusli, Wany Hasrita, Syamel, Ernie Zakri, Ara Johari, Hael Husaini dan Salma mungkin kali pertama berada di pentas AJL, tetapi mereka juga sudah terbiasa membuat persembahan di pentas lainnya.

Diiringi Edrie Hashim, AG Coco dan Waris.

Persembahan pembukaan oleh Stacy, diiringi oleh petikan gitar Edrie Hashim dan AG Coco serta rap oleh Waris sememangnya sesuatu yang cukup membanggakan! True performer, itu gelaran yang saya berikan untuk Stacy. Sesi pemanas acara ini seolah-olah menjadi satu konsert peribadi buat Stacy. Antara idea terbaik daripada pihak produksi.

Alif dan Sherry ada chemistry yang sangat bagus.

Sebelum saya berceloteh tentang persembahan, saya mahu bicara tentang dua pengacara AJL32 ini, Alif Satar dan Sherry Al-Hadad! Pasangan pengacara muda ini sememangnya menepati janji yang mereka berikan, menaikkan lagi prestij Anugerah Juara Lagu. Mereka berlawak tanpa mengenakan sesiapa, mereka mengacara tanpa cela, dan mereka tidak langsung membosankan! Selalunya saya akan tune off bila pengacara merapu, tetapi tidak kali ini. Setiap butiran yang mereka sampaikan, setiap gurauan sesama mereka menerbitkan gelak yang tidak dibuat-buat. Syabas Alif dan Sherry!

Lebih Sempurna – Syamel (Syamel / Edry Abd Halim / Boy Anas)

Penghayatan yang indah.

Syamel antara pelapis baru yang akan bertahan lama di dalam industri. Vokal sememangnya mantap dan antara penyanyi lelaki yang mempunyai kelebihan dari segi feel yang sangat kuat. Menjadi peserta pertama, pastinya gugup lebih kuat berbanding yang lainnya. Tidak ada apa yang kurang kecuali mungkin corak persembahan perlu sedikit diubah daripada persembahan-persembahan biasa beliau.

Sejati – Azmi Caliph Buskers (Faizal Tahir / Mike Chan)

Penuh perasaan.

Arrangement lagu sedikit berlainan tetapi Azmi menyampaikan lagu tersebut dengan penuh perasaan. Anugerah Tuhan kepada vokalnya yang unik dan mampu menyampaikan lagu dengan nada tinggi. Kekuatan Sejati terletak pada bait-bait liriknya yang indah dan Azmi memahami lagu tersebut untuk disampaikan dengan baik sekali.

Aku Yang Sebenar – Hazama (Datuk M.Nasir / Ad Samad)

Persembahan dan gaya yang mantap.

Persembahan yang cukup baik daripada Hazama. Makeup dan pakaiannya memang hebat! Saya rasa ini adalah persembahan terbaik Hazama yang pernah saya saksikan. Semuanya difikir dengan teliti dan dibawa dengan penuh jiwa. Baru tiga lagu yang dipertandingkan, saya sudah pening memikirkan siapa bakal merebut vokal mahupun persembahan terbaik.

Menahan Rindu – Wany Hasrita (Ibnu / Gouffran)

Pengalaman yang baik.

Mungkin terasa sedikit let down dengan persembahan Wany. Lakonan di awal persembahan agak old fashion dan mungkin telah dibuat beratus-ratus kali sebelum ini. Lebih baik jika Wany hanya menyanyi kerana arrangement lagu yang dibuat lebih sedap didengar dan Wany hanya perlu fokus pada nyanyian beliau. Tak apalah, rezeki kali pertama. Mungkin jika berjaya lagi, persembahan harus lebih disegarkan kerana lagu Menahan Rindu itu memang sedap.

Jampi – Hael Husaini (Hael Husaini / Ezra Kong)

Terus maju ke hadapan.

Memang lagu ini berhantu! Paling penting, Hael membuktikan lagu popular juga mampu jadi lagu terbaik. Rezeki Hael dengan single pertama beliau berjaya menjampi pendengar sepanjang tahun lalu. Bukan setakat membuktikan diri sebagai seorang penyanyi, beliau juga berjaya meyakinkan ramai dengan keupayaan beliau dalam penciptaan lagu. Jangan berhenti berkarya, Hael.

Akhirnya, Cinta – Salma (Ajai / Slen)

Vokal yang mantap.

Wow! Vokal Salma memang… Wow! Dari nota rendah hinggalah ke kemuncak, Salma antara penyanyi yang saya letakkan dalam kategori bakal membawa pulang anugerah vokal terbaik. Saya harap Salma akan terus mewarnai industri muzik tanah air. Mungkin belum rezeki beliau untuk mendapatkan lagu yang popular, tetapi saya percaya satu hari nanti dia mampu melakukannya. Dia antara pelapis yang hebat untuk industri seni kita.

Separuh Mati Ku Bercinta – Dayang Nurfaizah (Ajai)

Dayang tetap mengagumkan.

Ada yang menggelarkan beliau resident singer kepada Juara Lagu. Pada saya, kalau memang dia bagus, masuklah berpuluh kali pun ke final, tidak ada masalah kerana dia sememangnya bagus. Tidak ada apa yang dapat saya katakan tentang kehebatan vokal Dayang. Semua orang tahu! Cuma, dalam kemunculan vokalis-vokalis baru, saya cuba mencari kelainan yang mampu diberikan Dayang. Sesuatu yang lebih segar, mungkin sedikit berbeza daripada persembahan beliau di AJL sebelum ini. Ini mungkin satu yang ‘tidak bagus’ bila saban tahun menyertai AJL. Semua orang akan membandingkan persembahan beliau dengan persembahan-persembahan di AJL sebelum ini. Still, you are the best, Dayang!

Aku Cinta – Syamel dan Ernie Zakri (Syamel)

Gabungan vokal yang sempurna.

Satu-satunya lagu duet di AJL32 dan sesungguhnya persembahan mereka tidak menghampakan. Perfect pitch! Itulah yang dapat saya katakan. Ernie adalah seorang penyanyi yang perlu diberi perhatian. Saya tidak tahu siapakah yang menguruskan Ernie dan di bawah label mana dia berada, tetapi jangan biarkan bakat ini berlalu begitu sahaja. Seperti Salma, saya sangat berharap agar Ernie akan bertemu dengan lagu yang bukan sahaja mampu menonjolkan keupayaan vokal beliau, tetapi juga lagu popular yang mampu memperkenalkan beliau kepada peminat-peminat muzik tanah air.

Amboi – Altimet (Navigator / Altimet)

Dalam sindiran ada hiburan.

Altimet was out of this world! Salah seorang penyanyi tanah air yang saya sangat kagum. Persembahan rapper yang penuh dengan sifat-sifat kemelayuannya. Altimet menggabungkan rap dan dikir barat dalam persembahan beliau di AJL32. Apa lagi yang saya mahu katakan, apabila seluruh stadium menyanyi bersama. Sememangnya beliau WAJIB menang persembahan terbaik.

Warkah Untuk Ku – Ara Johari (Hang Nadim / Laq)

Tetap berikan yang terbaik.

Walaupun tidak sihat, persembahan tetap diteruskan. Tabik hormat buat Ara kerana masih mampu memberikan sebaik mungkin persembahan. Mungkin ada sedikit ‘crack’ pada suara beliau ketika menyampaikan nada yang tinggi, tetapi selain itu beliau tetap menyampaikan lagunya dengan baik. Tahniah Ara kerana membuktikan bahawa keinginan mengatasi segala-galanya.

Bayang – Khai Bahar (Alam (Harry Khalifah / Patrick Anohada)

Tetap gah di pentas Juara Lagu.

Ramai mengharapkan yang terbaik dari Khai Bahar namun beliau nampak agak gugup di pentas. Penyampaiannya baik tetapi mungkin sedikit biasa. Saya pernah lihat Khai menyanyikan lagu ini lebih baik dan cukup lengkap dengan feel beliau. Mungkin juga kerana terlalu lama menunggu giliran untuk membuat persembahan sedikit sebanyak meninggalkan kesan emosi kepada beliau.  Mana tahu tahun hadapan Khai akan kembali dengan Luluh dan melakukan sesuatu yang lebih baik dan sempurna. Tunggu dan lihat.

Tergantung Sepi – Haqiem Rusli (Gouffran / Ibnu)

Punya kualiti suara yang bagus.

Pencipta dan penulis lirik yang sama untuk lagu Wany Hasrita, tetapi Tergantung Sepi yang dibawakan Haqiem Rusli jauh lebih baik dan lebih sempurna. Memang tidak boleh dibandingkan kerana lagu dan penyampaiannya pun berbeza, tetapi saya membandingkan antara penyanyi pelapis yang kali pertama berada di pentas AJL. Haqiem sedikit emosi ketika menyampaikan lagu Tergantung Sepi namun beliau dapat mengawalnya dengan baik. Bila emosi itu sampai pada penyanyi, secara tidak langsung penonton yang melihat juga pasti akan merasai emosi yang sama. Ini juga pelapis yang harus diberi perhatian.

Gabungan juri baru dan lama.

Tahniah kepada sepuluh orang barisan juri yang terdiri daripada Edrie Hashim, Helen Yap, Pak Ngah, Datuk Mokhzani, Datuk Wah Idris, Datuk Ramli Sarip, Faizal Uzir, Sharon Paul, Aizat Amdan dan Azmeer sebagai ketua juri. Gabungan baru dan lama ini menyuntikkan elemen yang berlainan dan saya pasti ramai yang berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh mereka.

Datuk A. Rahman Hassan Datuk Awie. Siti Sarah. Datuk Jeffrydin.

Barisan artis hebat seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Awie, Siti Sarah dan Datuk Jeffrydin menutup tirai dengan persembahan Pop Yeh Yeh yang sungguh menghiburkan. Pembukaan yang boleh dikategorikan sebagai generasi baru oleh Stacy dan ditutup dengan barisan lagu berentak Pop Yeh Yeh yang tak lapuk dek hujan. Bijak sekali pihak produksi menyusun persembahan agar penonton di dewan dan di rumah tetap tidak beralih.

Barisan pemenang.

Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Juara Lagu 32:

Penyanyi Pilihan Samsung: Khai Bahar

Persembahan Terbaik: Altimet

Vokal Terbaik: Syamel dan Ernie Zakri

Juara, Naib Juara dan Tempat Ketiga.

Tempat Ketiga: Tergantung Sepi – Gouffran / Ibnu (Penyanyi: Haqiem Rusli)

Naib Juara: Sejati – Faizal Tahir / Mike Chan (Penyanyi: Azmi Caliph Buskers)

Juara Lagu milik Hael Husaini.

Juara AjL 32: Jampi – Hael Husaini / Ezra Kong (Penyanyi: Hael Husaini)

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

 
 
Comments