CLOSE
CLOSE

Malaysia Haramkan Tayangan Filem Kontroversi Bollywood, Padmaavat

Jalan ceritanya menyentuh sensitiviti Islam.


  • Share:

Malaysia Haramkan Tayangan Filem Kontroversi Bollywood, Padmaavat
Foto: indianexpress.com

Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) mengharamkan tayangan filem kontroversi Bollywood, Padmaavat, di Malaysia kerana mengandungi unsur yang dianggap sensitif kepada masyarakat majoriti Islam di negara ini.

 

Menurut Pengerusi LPF Mohd Zamberi Abdul Aziz, “jalan ceritanya menyentuh sensitiviti Islam. Itu sahaja sudah menjadi kebimbangan besar di Malaysia, sebuah negara dengan majoriti Islam."

 

Padmaavat adalah filem Bollywood yang memaparkan hubungan antara seorang permaisuri Hindu dan seorang pemerintah Islam pada zaman pertengahan di India. Watak utama filem itu, Padmavati, dibintangi pelakon Bollywood terkenal, Deepika Padukone dan watak Alauddin Khilji pula dilakonkan oleh Ranveer Singh.

 

Terdahulu filem ini mengundang kemarahan kumpulan Hindu terutamanya di Rajasthan dan Maharashthra kerana didakwa “memutarbelitkan sejarah” dengan menunjukkan pemerintah Islam, Alauddin Khilji, sebagai “kekasih” Padmavati, yang berasal daripada puak pahlawan Rajput.

 

Pelakon utamanya, Deepika Padukone turut menerima ancaman bunuh dan penggal kepala sehingga menyebabkan penangguhan filem ini yang jadual asalnya ditayangkan pada 1 Disember yang lalu. Kini filem itu telah mendapat kelulusan dan sudah mula ditayangkan di pawagam pada 25 Januari 2018.

 

Walaubagaimana pun, pengedar filem ini telah memfailkan rayuan terhadap pengharaman itu dan akan disemak semula oleh Jawatankuasa Rayuan Filem pada 30 Januari.

 

Memetik kenyataan Zamberi di dalam freemalaysiatoday “Buat masa ini, LPF tidak dapat memberikan komen selanjutnya kerana pengedar filem sudah menyerahkan rayuan kepada jawatankuasa rayuan. Oleh itu, komen selanjutnya hanya akan dikeluarkan selepas jawatankuasa rayuan membuat keputusan." Jawatankuasa itu akan membuat keputusan pada 30 Januari untuk “mempertahankan atau mengubah” keputusan LPF sebelum ini.

 

Lembaga penapisan India meluluskan filem ini berdasarkan peristiwa bersejarah di mana Padmavati menjadi permaisuri pada abad ke-14. Filem itu turut ditukar tajuknya kepada Padmaavat daripada nama eponim Padmavati, bagi mencerminkan bahan itu bersumberkan sebuah sajak epik dengan nama sama dan bukan berdasarkan peristiwa sebenar.

 

Lembaga itu juga mengarahkan penerbit filem itu meletakkan penafian mengatakan filem itu tidaklah “mendakwa ianya tepat dari segi sejarah”.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top