Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Wanita Tawar Diri Ikut Syamel Ke Bilik Hotel

Antara pelbagai pengalaman ketika di Chengdu, China.

0
comments
Wanita Tawar Diri Ikut Syamel Ke Bilik Hotel
Kutip pelbagai pengalaman di China. (Pic: Alexander Hadreez Jr.)

Pertama kali berkunjung ke Chengdu, China ketika menyertai festival muzik ABU TV Song Festival 2017, pada 1 November lalu, penyanyi yang semakin menyinar bakatnya, Syamel mengaku melalui pengalaman mendebarkan apabila digoda seorang wanita yang sanggup menawarkan diri untuk mengikutnya pulang ke hotel penginapannya.

Menurut Syamel, pengalaman itu cukup menakutkannya kerana sangkanya, wanita yang bekerja di bahagian produksi festival berkenaan hanya bergurau tatkala mengeluarkan kenyataan itu.

Tidak cukup dengan godaan wanita, bagasi turut hilang.

“Pada mulanya, saya ingat wanita itu hanya bergurau apabila menyatakan yang dia mahu mengikut saya pulang ke hotel. Bagaimanapun selepas melihat dia begitu bersungguh, saya pula jadi takut. Tidak mahu terjebak selain pemergian saya ke sana turut membawa nama Malaysia, saya pun menolak dengan cara baik permintaannya itu,” cerita penyanyi Hidup Dalam Mati ini kepada Rojak Daily Kaw!

Cerita pemilik nama penuh Syameel Aqmal Mohd Fodzly ini, kembaranya itu juga berdepan dengan cabaran apabila bagasinya hilang dalam perjalanan sehingga menyebabkan dia tinggal sehelai sepinggang untuk tempoh dua hari.

Hanya jamah buah-buahan dan roti.

“Sebelum sampai ke destinasi, penerbangan kami transit di Hong Kong. Sebaik saja tiba di Chengdu, bagasi saya pula tak sampai-sampai. Paniklah juga kerana semua pakaian saya ada dalam bagasi berkenaan. Selama dua hari, saya tak tukar baju. Cuma tukar pakaian dalam sahaja. Mujurlah saya ada simpan tiga helai seluar dalam dalam beg sandang.

“Itu yang saya tak muat naik sebarang foto selama dua hari itu kerana tak mahu orang tahu saya tak tukar baju,” ujarnya sambil ketawa.

Sepanjang berada di sana, penyanyi berusia 25 tahun ini juga hanya menjamah buah-buahan dan roti disebabkan kesukaran mendapatkan makanan halal.

Hadapi cabaran dengan positif.

“Bukannya apa, saya sendiri was-was dengan cara penyediaan makanan. Peserta lain saya tengok mereka makan sahaja. Cuma saya sahaja yang tak boleh nak telan. Untuk mengelakkan diri dari kelaparan, saya hanya makan buah-buahan dan juga roti.

“Kadang-kadang saya makan makanan segera berasaskan ikan. Cuma pada hari terakhir saya berpeluang makan mee tarik yang dibuat oleh komuniti Muslim di sana,” katanya.

Walaupun agak mencabar dan berdepan dengan kesukaran, namun Syamel mengambil hanya yang positif sebagai menambah ilmu untuk menjadi penyanyi yang berjaya.

Kutip pelbagai pengalaman dan pengajaran.

Katanya, meskipun bukan sebuah pertandingan namun festival itu berjaya membuka matanya bahawa penyanyi Malaysia sebenarnya mempunyai peluang yang cukup besar di luar sana.

“Walaupun bukan pertandingan sebaliknya hanyalah sekadar membuat persembahan tetapi saya mempelajari sesuatu di sana. Saya perhatikan, masyarakat di sana sangat menghargai karya. Peluang kita di luar sana sangat besar dan alangkah bagusnya jika kita dapat pendedahan di sana.

“Selain itu saya juga dapat mengenali budaya masyarakat setempat. Bila berjumpa dengan peserta berlainan negara, macam biasalah, pelbagai ragam ditemui. Mana yang baik, kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sempadan,” ujarnya berkias.

 
 
Comments