Rojak Daily Logo
Back to top

“Ayah Minta Saya Cari Anak Dara Sebagai Teman Hidup” – Datuk Jalaluddin

Bimbang hidup tidak terurus dan kesunyian.

0
comments
“Ayah Minta Saya Cari Anak Dara Sebagai Teman Hidup” – Datuk Jalaluddin
Sedang mengenali hati budi seseorang. (Pic: Youtube)

Belum setahun pemergian isteri tercinta, Datin Hasimah Mat Ehsan pergi mengadap Ilahi November tahun lalu, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan sudah pun disuruh mencari pengganti. Menurut Jalaluddin, permintaan itu datang daripada ayahnya sendiri, Tan Sri Hassan Azhari yang bimbang melihat keadaannya seperti tidak terurus serta hidup dalam kesunyian.

Bukan sahaja mendesak untuk segera kembali mendirikan rumah tangga tetapi kata pelakon berkarakter ini, bapanya turut mengenakan syarat mengenai calon isterinya itu.

“Selepas arwah isteri meninggal dunia, keadaan saya seperti orang gila. Sejujurnya pintu hati saya tertutup untuk menerima wanita lain dalam hidup saya. Malah hidup juga bagaikan tiada erti tanpanya. Bagaimanapun, ayah serta adik beradik saya yang lain banyak membantu untuk mengembalikan semangat saya yang hilang itu.

“Bimbang melihat saya hidup dalam kesunyian, bapa saya bersungguh-sungguh meminta saya untuk lekas mencari pengganti. Kalau boleh dia mahu saya berkahwin dengan anak dara,” kata Jalaluddin kepada Rojak Daily Kaw!

Disebabkan sudah mempunyai pilihan sendiri, bekas pengacara program Who Wants To Be A Millionaire berkata beliau terpaksa menolak permintaan bapanya itu.

“Memang saya sedang mengenali seseorang ketika ini dan dia seorang ibu tunggal dan mempunyai empat orang. Ikutkan permintaan ayah saya, dia mahu saya kahwin sekarang juga. Bagaimanapun saya meminta diberikan masa untuk berfikir kerana kalau saya nak kahwin pun, biarlah selepas setahun pemergian arwah isteri.

“Saya juga cakap dengan dia (bapa) yang tak semestinya jika kita kahwin dengan anak dara, ia mampu menjanjikan kebahagiaan. Saya tak mahu masalah remeh temeh timbul bila saya berkahwin dengan anak dara,” terangnya.

Mengenali seseorang di Facebook.

Mengulas lanjut mengenai wanita yang kini bertakhta di hatinya itu, Jalaluddin berkata perkenalan mereka bermula di laman Facebook selepas dia memberi ucapan sempena bulan Ramadan pertengahan tahun ini.

“Saya sebenarnya selalu tengok Facebook dia. I am a stalker (sambil ketawa). Cuma pada bulan puasa lalu saya tinggalkan ucapan Selamat Menyambut Ramadan padanya. Dari situlah kami mula berkenalan dan kami pertama kali berjumpa ketika majlis rumah terbuka Aidlfitri yang lepas.

“Dari situ barulah saya dapat tahu yang dia adalah adik kepada kawan rapat saya,” cerita lelaki berusia 63 tahun ini.

Ditanya apakah yang membuatkan dia terpikat dengan wanita yang berasal dari Melaka itu, pantas Jajaluddin menjawab, dia tertarik dengan semangat dan jiwa kental yang dimiliki wanita yang hanya dikenali sebagai YR itu.

“Dia adalah seorang ibu tunggal dan selepas melihat gambarnya di FB, saya tertarik melihat semangatnya yang berjuang membesarkan empat orang anak bersendirian. Bila saya lihat dirinya, saya terbayang wajah arwah di depan mata. Beza usia kami adalah 19 tahun,” jelas bapa kepada lapan orang anak dan datuk kepada 14 cucu ini.

 
 
Comments