Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Tertekan Dengan Harapan, Liza Hanim Mahu Realistik

Bersedia dengan segala kemungkinan, termasuk tersingkir awal.

0
comments
Tertekan Dengan Harapan, Liza Hanim Mahu Realistik
Sedikit tertekan dengan harapan peminat. (Pic: Alexander Hadreez Jr.)

Menjadi tumpuan ditambah dengan harapan tinggi yang diletakkan di atas bahunya sebaik sahaja bergelar peserta program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) meletakkan penyanyi bersuara gemersik, Liza Hanim dalam situasi yang sangat tertekan.

“Terus-terang, saya memang tertekan serta gementar dengan situasi seperti ini. Kalau boleh memanglah saya tak mahu mengecewakan semua peminat tetapi dalam hal ini saya kena lebih realistik. Apabila semakin berusia, pasti akan perubahan dari segi suara. Tak bolehlah nak jangka yang saya masih boleh menyanyi seperti zaman dulu.

Ambil kelas vokal bersama Cikgu Syafi.

“Justeru sebagai persediaan untuk pertandingan ini, selain pergi gim dan bersenam untuk nampak menarik di dalam TV, saya juga akan mengambil kelas vokal bersama Cikgu Syafi,” kata Liza kepada Rojak Daily Kaw!

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Gelisah Mimpi ini ditemui pada majlis memperkenalkan 12 finalis Gegar Vaganza 4 yang diadakan di The Gardens Theatre, Kuala Lumpur.

Selepas beberapa kali namanya disebut-sebut bakal menyertai GV, mengapa baru sekarang hatinya terbuka untuk berbuat demikian?

Dapat restu suami, baru sertai GV.

“Bukan tak nak masuk tetapi keadaan tidak mengizinkan. Waktu itu saya baru saja melahirkan cahaya mata serta sibuk dengan bisnes membuatkan masa saya terbatas. Selepas anak-anak membesar dan suami beri restu, barulah saya berani untuk menyertai GV,” ujarnya.

Seperti yang berlaku ke atas bekas peserta GV sebelum ini, penyertaan Liza dalam program realiti bermakna dia mengizinkan ruang peribadinya dicerobohi. Apakah dia sudah bersedia untuk berdepan dengan kritikan pedas juri serta komen negatif netizen yang tidak berlapik?

Bersedia dengan segala kemungkinan, termasuk tersingkir awal.

“Kehadiran juri dalam program ini adalah untuk membantu kita dan saya komen yang dilontarkan mereka pun bukanlah sembarangan. Apabila saya memutuskan untuk menyertai GV, saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan, termasuk tersingkir awal. Mengenai komen negatif netizen, saya tak akan biarkan perbuatan itu menjejaskan fokus saya.

“Mungkin tak perlu dilayan atau tutup sahaja ruangan komen,” ujarnya.

Gementar bersaing dengan idola, Aishah.

Diusik dengan pertanyaan tidakkah dia berasa bimbang reputasinya sebagai penyanyi hebat tercalar jika tiba-tiba tersingkir awal, penyanyi berusia 37 tahun ini ternyata bersikap positif dalam hal itu.

“Kalau takut reputasi tercalar, baik tak usah masuk pertandingan itu. Bila kaki sudah melangkah separuh, baik saya teruskan sahaja. Dari segi persaingan, saya rasa semuanya hebat-hebat belaka. Lihat saja persembahan mereka ketika sesi pengenalan peserta. Memang gementar lebih-lebih lagi apabila mengenangkan bakal bersaing dengan idola saya, Aishah,” katanya.

 
 
Comments



Back to top