Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

“Terkeluar Awal Tak Calarkan Reputasi Sebagai Penyanyi” - Ewal

Bakal muncul dengan single baharu.

0
comments
“Terkeluar Awal Tak Calarkan Reputasi Sebagai Penyanyi” - Ewal
Anggap tiada rezeki. (Pic: Alexander Hadreez Jr.)

Tema rock yang diperkenalkan pada minggu kedua AF Megastar yang berlangsung malam semalam ternyata telah meranapkan impian Ewal untuk menjulang trofi sebagai juara program realiti berkenaan. Menjadi peserta ketiga yang tersingkir, anak kepada bekas vokallis kumpulan Wings iaitu Mel ini bukan sahaja meraih undian paling sedikit tetapi juga mendapat komentar negatif daripada juri tetap, Datuk Ramli MS.

Menurut Ramli, Ewal gagal menyerlahkan aura rock tatkala menyampaikan lagu Potret yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Akim & The Majistret. Sebagai penyanyi yang lebih dikenali dengan genre R&B dan sangat selesa dengan muzik itu sejak menceburi dalam bidang seni, tentunya agak sukar untuk menyampaikan lagu rock yang diakui memerlukan energi yang luar biasa.

Sedia ambil risiko.

Ketika diajukan pertanyaan itu kepada pemilik nama penuh Ikhwal Hafiz Ismail ini, dia enggan menuding jari atau memberi pelbagai alasan di atas penyingkirannya itu.

“Bila kita setuju untuk masuk program realiti bererti kita kena bersedia dengan apa juga risiko. Kita juga kena jangka apa yang akan berlaku. Tak adalah sampai nak kata yang nyanyian bertema ini sebagai tak adil. Saya kena berani ambil risiko serta percaya semua itu adalah takdir dan tak perlu nak salahkan sesiapa.

“Kalau nak kata komen Datuk Ramli yang buat saya terkeluar, saya tak rasa itu adalah puncanya. Dia beri komen berdasarkan apa ayang dilihat dan saya tak pernah mempersoalkannya,” kata Ewal kepada Rojak Daily Kaw! ketika ditemui pada sidang media sejurus selepas konsert mingguan yang diadakan di Royal Teater Shah Alam itu tamat.

Bukan pengakhiran kerjaya.

Tegas Ewal, apa yang dipersembahkannya malam itu adalah interpretasinya sendiri terhadap genre muzik berkenaan.

“Untuk menyampaikan lagu rock, tak semestinya nak kena jerit atau nak buat suara rock. Saya sampaikan berdasarkan apa yang saya berlatih selama ini. Susunan muzik untuk lagu Potret ini lebih kepada Pop Rock. Iyalah pendapat orang berbeza-beza dan saya terima sahaja apa komen mereka,” katanya.

Walaupun tersingkir awal namun jejaka berusia 25 tahun ini tidak menganggap apa yang berlaku itu mampu mencalarkan reputasinya sebagai seorang penyanyi yang mempunyai kedudukan yang selesa di luar sana.

“Saya tak rasa penyingkiran ini sebagai petanda pengakhiran kerjaya saya. Orang bebas untuk menghakimi saya tetapi pada yang tahu mengenai industri, mereka pasti tahu bagaimana kedudukan saya dalam bidang ini. Memanglah saya tak segah penyanyi ternama lain tetapi kerjaya nyanyian saya tetap maintain.

Muncul dengan lagu baharu.

“Sejujurnya, saya masuk program ini adalah kerana saya sudah lama tidak muncul di kaca televisyen. Dapat keluar TV selama empat minggu pun sudah memadai bagi saya,” katanya sambil tersenyum.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Ewal memberitahu selain kembali aktif memenuhi undangan persembahan, dia juga akan muncul dengan lagu baharu.

“Lagu itu ditulis oleh Sharon Paul dan lirik pula hasil nukilan Hafiz Suip dan Adib. Sepatutnya lagu ini dinyanyikan Hafiz sendiri namun disebabkan ada masalah, lagu itu diserahkan pada saya. Saya tak kisah pun jika ada yang mendakwa saya pilihan kedua kerana saya percaya pada rezeki.

“Kalau bukan rezeki, nasi yang kita suap dalam mulut pun boleh terkeluar baik,”ujar Ewal berkias.

 
 
Comments