Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Berada Di Kedudukan Tiga Terbawah Tapi Dapat Anugerah Star Of The Week!

Inilah rancangan realiti di Malaysia!

0
comments
Berada Di Kedudukan Tiga Terbawah Tapi Dapat Anugerah   Star Of The Week!
Persembahan konsisten Idayu setiap minggu menjadi kayu pengukur AF Megastar. (Pic: Mazlan Yunos Photography)

Apa agaknya perasaan apabila dikritik agak teruk oleh juri, kemudian mendapat anugerah 'Star of The Week', dan kemudiannya diumumkan berada di kedudukan tiga terbawah?

Mahu salahkan Sufi dan peminatnya? Tidak boleh juga. Habis siapa yang salah? Peminat-peminat peserta lain yang di media sosial seperti pukul kompang sampai mahu pecah tapi malas untuk mengundi. Marah dengan kenyataan ini? Itulah hakikatnya.

Star of the week.

Sampai bila peserta yang sepatutnya diberi anugerah tetapi dinafikan kerana faktor undi? Masihkah kita berada di takuk lama? Kalau mahu bersoal jawab, memang banyak gila yang boleh ditulis tapi hanya buat penat jari menaip. Akhirnya di situ juga kita berada. Bak kata orang utara, 'pi mai pi mai tang tu jugak'. Lets do the review.

Konsert minggu ini bertemakan rock, tetapi hanya beberapa kerat sahaja yang sebenarnya tahu apa itu genre rock.

Perlu gali indentiti.

Ewal – Potret

Apa yang ditulis minggu lalu akhirnya disuarakan oleh pihak juri minggu ini. Ewal bukan tidak ada suara yang bagus, tetapi tidak nampak di mana originality beliau. Definisi rock yang dibawakan juga terlalu literal dengan gerak dan gayanya. Saya sangat berharap dia memilih mungkin lagu daripada penyanyi wanita supaya audience dapat melihat keupayaan beliau.

Masih ditakuk lama.

Sufi – Sambutlah Kekasih

Seorang lagi peserta yang saya tidak nampak originality dirinya sendiri. Kemana menghilang Sufi yang suatu ketika dulu menyanyikan lagu Michael Jackson dengan gayanya yang tersendiri? Kefahaman beliau terhadap genre rock terlalu cetek dan hanya diletakkan pada gaya pergerakan yang terlalu dirancang. Saya juga tidak faham kegunaan koir yang begitu besar tetapi tidak memberikan sebarang impak kecuali menenggelamkan persembahan Sufi.

Perlu perubahan imej.

Amir Jahari – Pokok

Bila jiwa kita faham dengan erti dan genre sesebuah lagu, tidak perlu berlebihan. Genre rock itu sendiri terbahagi kepada puluhan dan bukan setakat menjerit atau memakai seluar ketat kerana itu bersifat luaran. Amir faham jiwa lagu. Tetapi saya harus bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Syafinas. Di Malaysia, bakat sahaja tidak mencukupi. Sebagai penghibur, ianya mesti dilengkapkan dengan imej yang lebih besar. Jangan salah faham, bukan rupa, tetapi imej dan penataan gaya. Mahu dekat dengan peminat? Itulah yang harus Amir Jahari lakukan.

Perlu bezakan menyanyi dengan menjerit.

Indah Ruhaila – Chandelier

Saya pun tidak tahu apa yang sudah jadi dengan penyanyi kegemaran saya ini. Di sekeliling saya semuanya berkata yang berbutir hanyalah one, two, three, one, two, three'. Vokal Indah seolah meliar dan tidak ada kawalan. Nyanyian note tingginya hanya kedengaran menjerit dan tidak indah seperti namanya. I'm so disappointed!

Jangan over confident.

Syamel – Still Loving You

Sekali lagi saya tidak faham dengan kegunaan koir yang besar. Ianya langsung tidak meninggalkan impak kepada persembahan Syamel malah pada saya lebih mengganggu tumpuan pada suaranya. Persembahan Syamel tidak seperti kebiasaannya yang penuh emosi dan memberi cerita pada bait-bait lagu. Entahlah, ini mungkin pandangan peribadi, tapi sedikit nampak 'sombong' dan tidak friendly kepada penonton.

Perlu keluar dari kepompong selesa.

Bob – Saat Ku Idamkan

Kekuatan Bob bukan sahaja dari segi vokal tapi kebijaksanaan memilih lagu supaya suaranya ke hadapan dan dapat dinikmati oleh semua. Ada bahagian tinggi ditekankan dan bahagian rendah dicantikkan. Minimalis dan tidak perlu menjadi 'rocker' dalam fikiran segelintir orang. A job well done. Tapi pada masa yang sama, Bob harus keluar dari kepompong yang mudah. Dia harus lebih mencabar dirinya untuk lebih ke hadapan.

Jangan ikut kehendak diri, ikut kemampuan suara.

Amir – Sejarah Mungkin Berulang

Entah siapa lah yang pilihkan lagu ini untuk Amir. Entah siapa pula yang buat arrangement untuk lagu ini. Mana hilangnya juara Akademi Fantasia? Seriously, team Amir perlu faham dengan suara Amir. Mereka perlu tahu kekuatan dan kelemahan vokal Amir sebelum membuat sebarang keputusan dalam memilih lagu dan menukar arrangement. Amir mungkin paling muda, tapi dia punya vokal yang bagus. Tetapi sebagus manapun vokal, kalau tidak dibawa ke jalan yang betul, tetap tidak akan membantu. Mungkin dia rasa jiwanya adalah jiwa rock, tetapi tidak. Kekuatan Amir pada lagu-lagu pop! Stay pop!

Perlukan pembaharuan.

Marsha Milan – Salam Untuk kekasih

Tata hias gothic dan pakaian yang mungkin agak berlainan. Tapi itu sahaja. Kalau di letakkan bersebelahan dengan persembahan minggu lalu, tidak jauh bezanya. Dari segi persembahan, Marsha memang berjaya tetapi saya tidak terhibur. Marsha ada sesuatu yang lebih untuk diberikan kepada penonton kerana berbeza dengan peserta lainnya, Marsha ada satu karakter yang menghidupkan pentas. Tapi kalau diberikan berulang-ulang, sesiapa pun akan bosan.

Jumpa Cikgu Syafi untuk kelas vokal.

Shahir – Jampi

Sumpah, Shahir ni ada suara yang sangat bagus. Tetapi seperti segelintir mereka yang bersuara bagus dan hanya fikir itu sudah mencukupi, perkara yang samalah yang terjadi pada Shahir. Sebagus manapun vokal, tanpa bimbingan yang betul tetap akan kedengaran berterabur. Ada sedikit 'perselisihan pendapat' antara saya dan pengurusnya apabila mereka mengatakan vocal range Shahir kecil. Shahir ada vocal range yang besar. Dia bekas penyanyi nasyid. Dia cuma perlukan bimbingan guru vokal untuk mengeluarkan apa yang dia ada. Belanja sikit, bawa Shahir ke kelas Cikgu Syafi. Dan saya janji, anda akan melihat perubahan yang ketara dengan kemampuan Shahir.

Semakin meningkat naik.

Idayu – Sesal Separuh Nyawa

At last, ada penyanyi yang profesional di atas pentas membuat persembahan. Nota tinggi dikawal supaya tidak menjerit, nota rendah dipegang supaya tidak tenggelam. Orang tahu kemampuan beliau menyanyikan lagu-lagu tinggi. Ya, orang Malaysia dan di mana jua memang suka dengan nota-nota tinggi. Masa tu mereka akan bertepuk tangan dan bersorak riang seolah-olah mencapai nota tinggi itu seperti sampai ke puncak Everest, padahal keseluruhan nyanyian itu sebenarnya yang menyedapkan lagu. Tapi biarlah, kalau itu yang dimahu.

Bottom three.

Pada saya, pemarkahan daripada juri-juri profesional banyak membantu peserta-peserta yang bagus masih berada di dalam pertandingan AF Megastar ini. Jika tidak kerana 60% permakahan daripada pihak juri, hanya yang ramai peminat dan pengikut di media sosial sahaja yang akan tinggal di dalam pertandingan ini.

Meneruskan persaingan.

Dan sepuak lagi termasuk segelintir artis bukan realiti akan terus merendah-rendahkan martabat penyanyi-penyanyi ini dengan gelaran artis mee segera. Malahan, bahan jenaka 'kentut pun berbau wangi' akan terus menjadi bahan jenaka yang diulang-ulang.

Pilihan lima persembahan terbaik saya minggu ini mengikut susunan adalah Idayu, Bob, Amir Jahari, Syamel dan hmmmmmm... mungkin Shahir. Ya, mungkin Shahir yang lebih sedikit daripada Marsha.

Terus pertingkatkan diri.

Untuk Ewal, nasihat ini mungkin bunyinya agak kasar, but put aside your ego, keluar daripada acuan yang dulu, belajar balik, buang habit yang lama, bebaskan diri ketika membuat persembahan.   At the end of the day, you are a great singer!

 
 
Comments



Back to top