Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Adiwiraku Julang Trofi Filem Terbaik FFM29

Tanpa bintang komersial, Adiwiraku turut merangkul dua anugerah utama lainnya.

0
comments
Adiwiraku Julang Trofi Filem Terbaik FFM29
Meraikan kejayaan. (Pic: Chempaka Nur Iman)

Adiwiraku diangkat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia-29 (FFM29) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam Sabtu lalu.

Diarahkan Eric Ong, karya terbitan Sol Pictures Sdn Bhd itu menewaskan empat lagi pesaing terdekat iaitu Redha, Interchange, Hanyut dan Desolasi.

Filem tanpa bintang komersial itu juga bukan hanya merangkul trofi utama FFM29 malah turut membawa pulang dua lagi anugerah lain.

Diadaptasi daripada kisah benar, Adiwiraku meraih Cerita Asal Terbaik menerusi garapan Jason Chong yang juga Penerbit Eksekutifnya selain Pelakon Wanita Terbaik, Sangeeta Krishnasamy.

Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Kisah menyentuh hati ini mengenai kegigihan guru Bahasa Inggeris serta semangat pelajar Sekolah Menengah Pinang Tunggal itu dalam sebuah pertandingan.

Trofi disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak yang turut merasmikan malam kemuncak festival terbabit.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib; dan Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob.

Pengarah Terbaik.

Filem Interchange pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila trofi Pengarah Terbaik menjadi milik Dain Said manakala Pelakon Pembantu Terbaik dimenangi Shaheizy Sam.

Sementara itu, watak Namron sebagai Razlan dalam filem Redha nyata cukup berkesan hingga melayakkannya dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.

Bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, pemenangnya ialah Diana Danielle daripada filem Hanyut.

Trofi Pelakon Lelaki dan Wanita Harapan pula masing-masing menjadi milik John Tan (You Mean The World To Me) dan June Lojong (Redha).

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Lakonan bintang cilik, Harith Haziq, yang meninggalkan kesan dalam filem berkisar dunia kanak-kanak autistik, Redha, melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, manakala sutradaranya, Tunku Mona Riza, dipilih sebagai Pengarah Harapan.

Pada masa sama penganjur turut mengiktiraf tiga filem lain iaitu Desolasi, Shuttle Life dan Pekak bagi Anugerah Khas Juri.

Penghormatan turut diberikan kepada pengarah dan penerbit berpengalaman, Datuk Yusof Haslam, yang menerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman.

Isteri Namron turut memenangi anugerah.

Bertemakan Transformasi Citra Karya, FFM29 mempertaruhkan 24 kategori dengan 18 daripadanya membabitkan pencalonan lima finalis manakala enam anugerah lagi adalah pilihan khas juri.

Tahun ini FFM kembali mengekalkan kategori Filem Terbaik sebagai anugerah utama manakala dua kategori iaitu Filem Terbaik Nasional dan Filem Terbaik Kebangsaan dimansuhkan.

Acara berprestij yang mengangkat karya-karya filem terbaik itu dikendalikan Zizan Razak, Siti Elizad, Elizabeth Tan dan Thanuja Ananthan.

Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman.

FFM29 disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Astro Ria HD.

Senarai Pemenang FFM29:

1) Filem Terbaik: Adiwiraku

2) Pengarah Terbaik: Dain Said (Interchange)

3) Pelakon Lelaki Terbaik: Namron (Redha)

4) Pelakon Wanita Terbaik: Sangeeta Krishnasamy (Adiwiraku)

5) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Shaheizy Sam (Interchange)

6) Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Diana Danielle (Hanyut)

7) Pengarah Harapan: Tunku Mona Riza (Redha)

8) Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Harith Haziq (Redha)

9) Pelakon Wanita Harapan: June Lojong (Redha)

10) Pelakon Lelaki Harapan: John Tan (You Mean The World To Me)

11) Lakon Layar Terbaik: Saw Teong Hin (You Mean The World To Me)

12) Sinematografi Terbaik: Jordan Chiam (Interchange)

13) Cerita Asal Terbaik: Jason Chong (Adiwiraku)

14) Kostum & Busana Terbaik: Akma Suriati Awang (Hanyut)

15) Anugerah Khas Juri (Kesan Khas Visual): Desolasi (Skop Productions Sdn Bhd)

16) Anugerah Khas Juri (Kesedaran Sosial): Shuttle Life (MM2 Film Distribution Sdn Bhd)

17) Anugerah Khas Juri (Kupasan Isu Najis Dadah): Pekak (Grand Brilliance Sdn Bhd dan Lightbulb Pictures)

18) Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman: Datuk Yusof Haslam

19) Anugerah Penggiat Belakang Tabir: Johan Ibrahim

20) Filem Box Office: Abang Long Fadil 2 (Skop Production Sdn Bhd & Astro Shaw)

21) Penataan Bunyi Terbaik: Daniel (Hanyut)

22) Penataan Seni Terbaik: Zaharah Nakibullah (Interchange)

23) Suntingan Terbaik: Nazim Shah (J Revolusi)

24) Skor Muzik Terbaik: David Koon (You Mean The World To Me)

 
 
Comments