CLOSE
CLOSE

Tiz Zaqyah dan Remy Ishak Tiada Masalah Bergandingan Dalam Anak Merdeka

Kematangan mengajar supaya tidak bermusuh dengan sesiapa walaupun bekas kekasih.


  • Share:

Tiz Zaqyah dan Remy Ishak Tiada Masalah Bergandingan Dalam Anak Merdeka

Suatu ketika dulu kisah cinta Remy Ishak dan Tiz Zaqyah pernah menjadi bualan. Asmaradana itu dikatakan mekar dek penangan cinta lokasi ketika kedua-duanya membintangi drama fenomena Nur Kasih. Namun adat dalam hubungan percintaan, tak semua yang diharap kekal sampai ke ikatan perkahwinan itu menjadi kenyataan.

Bahkan ketika hikayat cinta mereka terlerai beberapa tahun dulu dan kedua pelakon ini memilih untuk meneruskan kehidupan tanpa terus dibayangi kisah silam, itu tak bererti Remy dan Tiz tidak boleh menjalinkan hubungan profesional atas tunjang seni.

Buktinya mereka pernah bersatu menerusi drama Cinta Jangan Pergi kira-kira pada tahun 2013. Kabir Bhatia juga yang menyatukan mereka seperti mana drama Nur Kasih.

Jalinan itu sekali lagi berterusan kerana Kabir turut mengarahkan satu episod untuk drama bersiri sempena sambutan Hari Kebangsaan berjudul Anak Merdeka. Secara total drama berkenaan diterbitkan sebanyak enam episod.

Baik Tiz dan Remy tiada masalah untuk itu.

Tiz berkata, dia hanya tahu bakal digandingkan dengan Remy ketika sesi bacaan skrip, namun tidak mempunyai masalah untuk berlakon bersama-sama atas paksi profesional.

"Soal dan cerita lama sudah dibuang ke tepi. Baik saya dan dia bersikap profesional ketika di lokasi penggambaran. Mungkin bagi sesetengah pelakon, sukar untuk kembali berlakon dengan bekas kekasih tetapi tidak bagi saya.

"Selama tiga bulan berlakon dengan Remy, kami seperti biasa menjalankan tanggungjawab sebagai rakan sekerja dengan baik. Kematangan mengajar saya supaya tidak bermusuh dengan sesiapa dan tidak mengungkit perkara lalu.

"Di tambah dengan cerita Anak Merdeka sebagai naskhah berkualiti dan peluang beraksi dalam produksi berlatarkan kisah patriotik tidak selalu datang. Jadi kenapa perlu saya tolak tawaran ini. Peluang menjayakan projek besar ini saya anggap sebagai penghormatan," katanya.

Drama enam episod itu diterbitkan Angsana Production. Tiz dan Remy menjadi pasangan suami isteri dalam drama berkenaan.

Akui Tiz, tidak sukar mencipta ‘kimia’ dengan aktor yang kini berimej berjambang itu memandangkan kedua-dua mereka tebal dengan pengalaman.

"Ia jadi mudah kerana saya sudah memahami cara kerja Remy. Begitulah sebaliknya. Tambahan pula, Kabir ada terbabit sebagai pengarah dalam satu episod, membuatkan saya teruja kerana ini seperti pertemuan semula tenaga produksi Nur Kasih.

"Kami sudah lama bekerja dalam bidang ini dan tahu cara untuk beraksi setiap kali berdepan dengan kamera. Alhamdulillah, tidak ada apa-apa isu yang timbul dan Remy juga memberikan kerjasama yang baik," katanya.

Sementara itu, Remy juga tiada masalah untuk bergandingan dengan Tiz.

Selain Tiz dan Remy, drama itu turut menampilkan Thanuja Ananthan dan Elvis Chan sebagai pelakon utama.

“Saya okey. Kami okey,” kata Remy ringkas.

Meninggalkan cerita drama berkenaan, Remy turut diajukan hal mengenai kisah peribadinya dengan cinta hati, Ezza Yusof.

Mereka dikatakan bertunang di Pahang, April lalu.

Namun, Remy memberitahu dia enggan terburu-buru dalam soal berkahwin kerana perlu mengukuhkan pelbagai aspek sebelum memikul tanggungjawab sebagai suami.

“Belum ada tarikh lagi untuk mendirikan rumah tangga. Tetapi jika ada rezeki, pastinya saya akan berkongsi kepada umum tentang hal ini. Memang saya dan tunang ada merancang, namun banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dulu.

"Kalau ikut hati, semestinya saya ingin berkahwin secepat mungkin. Namun saya tak boleh terburu-buru kerana rasanya, diri ini belum sempurna untuk bergelar suami. Banyak lagi aspek perlu saya kukuhkan termasuk soal kewangan.

“Doa yang baik-baik untuk saya dan tunang. Ada jodoh kami dan tiba masanya pasti akan ada kenyataan rasmi.”

Remy kini juga sedang rancak menjalani penggambaran siri mini, Do[s]a. Selain Remy, siri kolaborasi produksi Malaysia dan Indonesia itu turut menampilkan Datuk M Nasir, Ashraf Sinclair dan Hisyam Hamid.

Dia juga menanti tayangan filem Kau Takdirku, di samping Ezzaty Abdullah dan Bront Palarae bermula 7 September ini.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top