Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Pegawai Perhubungan Awam LHDN Tegaskan Ada lagi Selebriti Bakal Terima Tindakan Seperti Shaheizy Sam

Sam kesal tindakan LHDN dedah maklumat peribadi di akhbar.

0
comments
Pegawai Perhubungan Awam LHDN Tegaskan Ada lagi Selebriti Bakal Terima Tindakan Seperti Shaheizy Sam
Sam tak puas hati dengan cara LHDN. (Pic: Instagram @shaheizy_sam)

Bintang filem terkenal, Shaheizy Sam mengakui amat ralat dan kecewa dengan pihak berkenaan mengenai dirinya diisytiharkan muflis oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berikutan penyebaran keratan notis mengenai perkara itu di sebuah akhbar berbahasa Melayu baru baru ini.

Malah suami kepada Syatilla Melvin itu juga mempersoalkan alasan pihak berkenaan yang kononnya tidak dapat menghubunginya dan mengambil jalan pintas bertindak menggunakan medium surat khabar.

"Alasan pihak mereka tak dapat hubungi saya itu memang tak munasabah kerana sebelum ini kami pernah berurusan di emel.

"Saya bukan penjenayah nak larikan diri. Saya pun bukan tak pernah bayar cukai kerana itu tanggungjawab saya. Bukan tak ada rekod saya bayar cukai. Saya rasa seperti dianiaya dan disabotaj.

"Jadi tak ada istilah mereka tak boleh cari saya. Saya bukan kerja pejabat dari jam 9 pagi sampai 5 petang. Saya kerja berlakon tak tentu masa dan ada hari saya tak ada di rumah," katanya.

Tindakan pihak itu mendedahkan hal privasinya seperti nombor kad pengenalan dan alamat rumah juga turut dikesali bintang filem Polis Evo ini.

"Saya tak pasti apa motif mereka. Mungkin juga ini cara mereka guna orang yang ada pengaruh seperti saya untuk buka mata orang ramai bagi membayar cukai.

"Bayar cukai tanggungjawab saya. Sejak mula berlakon lagi, saya sudah bayar cukai. Tak perlu risau. Kali terakhir pihak mereka datang ke rumah pada 9 mei lalu. Tarikh itu anak pertama saya dilahirkan dan berada di hospital. Saya umumkan hal itu di laman sosial.

"Pelik juga dua tiga minggu sebelum notis itu dikeluarkan, ada dua tiga orang wakil pihak LHDN datang rumah saya menyerahkan borang CP 500. Kenapa mereka tak maklumkan pun hal berbangkit. Kenapa pilih guna surat khabar pula," katanya.

Hingga kini agen cukai yang dilantik dan dirinya masih menunggu penjelasan sebenar di atas apa yang terjadi.

"Apa yang saya sedia maklum tak ada istilah bankrap.

"Saya berhutang dengan pihak bank tak ada masalah pun. Inikan pula badan kerajaan.

"Hingga kini pun saya tak tahu berapa amaun yang perlu dibayar kerana sedang membuat penilaian semula kerana sebelum ini saya bayar cukai tanpa membuat pengecualian.

"Salahkah ambil masa kali ini untuk membuat pengecualian," katanya sambil memberitahu insiden ini turut menjejaskan perniagaan yang dilakukan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, LHDN, Masrun Maslim memberitahu, pihaknya tidak mahu memberi sebarang kenyataan berhubung perkara berbangkit.

Bagaimanapun, dia berharap dan menasihati Sam untuk hadir segera ke pejabat LHDN.

"Buat masa ini kami tidak mahu beri sebarang kenyataan mengenai Shaheizy Sam. Kami tidak mahu menjadikan media sebagai medan untuk berbalah.

"Satu saja nasihat saya kepada artis itu, sila hadir ke LHDN atau hubungi pejabat kami untuk sebarang penjelasan. Terima kasih," kata Masrun.

Masrun dalam pada itu menegaskan tindakan mereka mengiklankan notis muflis tersebut adalah mengikut prosedur seperti biasa.

Malah, notis tersebut diterbitkan selepas pihak LHDN mendapat kebenaran mahkamah.

Katanya lagi, beberapa selebriti tempatan lain juga bakal diisytiharkan muflis ekoran gagal menjelaskan hutang cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, artis terbabit akan dikenakan tindakan jika mereka tidak berusaha untuk menjelaskan tunggakan terbabit.

"Saya tidak mahu kata ramai (artis), tetapi dalam rekod kami, memang ada lagi selebriti yang akan dikenakan tindakan serupa (seperti Sam) selepas ini.

"Hanya tunggu masa saja. Jika mereka tidak mengambil usaha untuk menjelaskan tunggakan, mereka boleh dibawa ke mahkamah dan seterusnya diambil tindakan muflis. Ia adalah prosedur biasa dalam pungutan cukai," katanya.

Tambahnya lagi, artis yang masih tidak tahu mengenai cukai pendapatan yang harus dibayar, boleh melayari laman sesawang agensi terbabit.

"Segala maklumat mengenai tanggungjawab percukaian boleh google di laman sesawang LHDN.

"Terpulang kepada selebriti itu untuk mengambil tahu mengenai cukai mereka. Jika masih tidak faham, mereka boleh berjumpa pegawai kami bagi mendapatkan penerangan.

"Jangan hanya tunggu kami datang kepada mereka. Prosedur tetap sama untuk semua orang dan tiada yang istimewa," tegasnya.

 
 
Comments