Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

“Saya Nak Bahagiakan Mak Ayah Dahulu.” – Khai Bahar

Kumpul duit untuk bawa ibubapa dan ibu tiri ke Tanah Suci Makkah.

0
comments
“Saya Nak Bahagiakan Mak Ayah Dahulu.” – Khai Bahar
Khai Bahar mahu utamakan ibubapa dahulu. (Gambar: Mohamad Bakar)

Ketika ada yang begitu ghairah memikirkan soal bercinta atau perkahwinan di usianya kini, Khai Bahar yang baru memenangi kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH 3.0 pula sebaliknya. Masih menganggap diri hijau dan banyak lagi yang perlu diperbaiki sebagai anak seni, jejaka berasal dari Perlis pula memikirkan untuk membahagiakan ibu bapa dan keluarga tersayang.

Ibubapa jadi keutamaan Khai.

Anak keempat daripada enam beradik berusia 23 tahun ini seboleh-bolehnya tidak mahu membebankan diri untuk ke arah mempunyai komitmen tidak kira daripada segi bercinta atau berkahwin.

“Memang ramai yang tanya saya ada kekasih atau belum. Buat masa sekarang jawapan saya memang bunyi macam klise iaitu nak fokus kepada nyanyian. Ada jodoh, insya-Allah saya kahwin. Cuma buat masa sekarang, perjalanan saya masih awal untuk menebak apa yang bakal terjadi pada masa mendatang.

Mahu memberi kesenangan kepada keluarga terlebih dahulu.

“Saya cuma fikir nak kumpul duit bawa ibu bapa dan ibu tiri ke Tanah Suci Makkah dahulu. Ada rezeki lebih, saya pun nak turut serta. Saya nak membahagiakan mak ayah dahulu. Diri sendiri atau nak fikir soal kahwin itu kemudian sahajalah. Saya harap impian itu akan  menjadi kenyataan,” katanya yang akan muncul dengan single lagu raya berjudul Salam Syawal tak lama lagi.

Kalau boleh penyanyi lagu Bayang dan Dari Jauh Sahaja ini tak mahu bercinta lama andai ditakdirkan bercinta suatu hari nanti.

“Tak mahulah ada kekasih, biar kahwin terus,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Belajar vokal dengan Cikgu Syafinaz.

Mengintai sisi kerjayanya yang belum lagi genap setahun, Khai memberitahu perancangan untuk single ketiga seterusnya dirancang selepas raya nanti. Malah atas inisiatif sendiri dan semangat berkobar-kobar juga, Khai ketika ini sedang belajar vokal dengan penyanyi Syafinaz Selamat.

“Saya sedar hingga saat ini, ada yang masih ragu ragu dengan bakat dan vokal saya. Jadi saya kena lihat ia sebagai ruang untuk terus memperbaiki kelemahan diri. Belajar vokal ini masih berterusan. Saya juga dapat berasakan sudah mula meningkat sedikit mutu vokal sebelum ini. Saya pun dahulu malu malu kucing juga nak bercakap depan orang termasuk wartawan.

Bermula dari smule duet bersama Siti Nordiana.

“Tapi sekarang semakin okeylah juga berbanding sebelum ini. Saya percaya setiap hari itu menjadi proses pembelajaran dan menjadi fasa yang mematangkan diri. Alhamdulillah juga orang sudah mula kenal saya,” katanya.

Ditanya mengenai Syafinaz selaku guru vokal, Khai menyifatkan penyanyi bersuara soprano itu sangat baik.

“Beliau seorang yang teliti dan tegas. Cara dia mendidik saya itu boleh diterima. Penuh diplomasi. Ketegasannya buat saya bersemangat nak belajar memperbaiki mutu vokal lagi,” katanya.

Mengenai kejayaannya di ABPBH 3.0, Khai tidak menyangka dia berdepan detik indah dengan Siti Nordiana pada Ahad lalu. Khai dan Siti Nordiana masing-masing mengungguli kategori Penyanyi Lelaki Popular serta Penyanyi Wanita Popular. Siti Nordiana sebenarnya memberi impak tersendiri kepada kerjaya seni Khai.

Khai mula meraih perhatian apabila rakaman nyanyiannya menerusi aplikasi Smule bersama Siti Nordiana dalam lagu Memori Berkasih menjadi viral.

Kalau ada peluang, mahu berduet dengan Siti Nordiana.

“Syukur di atas kejayaan berganda di ABPBH 3.0 lalu. Apa-apapun saya nak berterima kasih kepada Siti Nordiana kerana dia antara individu berjasa yang menaikkan nama saya hingga jadi viral. Sampai bila-bila pun saya takkan lupa jasanya.

“Terima kasih juga kepada mereka yang selama ini menyokong apa yang saya lakukan termasuk peminat tersayang dan kelab peminat Khai Bahar Nizers. Saya memang bertambah teruja dan gembira kerana menang dalam kategori Penyanyi Popular dengan Kak Nana,” katanya yang tak akan menolak peluang andai ditawarkan berduet dengan Siti Nordiana.

 
 
Comments



Back to top