Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Musim Kelahiran Cahaya Mata Akademi Fantasia

Bintang Akademi Fantasia musim keempat, kelima dan keenam dapat cahaya mata dalam minggu yang sama.

0
comments
Musim Kelahiran Cahaya Mata Akademi Fantasia
Diddy Hirdy, Mila Jirin dan Nubhan Ahamad mendapat cahaya mata dalam minggu yang sama. (Gambar: Instagram @diddyhirdy @mila_jirin @nubhan)

Bagaikan bermusim artis kelahiran Akademi Fantasia dikurniakan cahaya mata. Minggu lalu, tiga bintang Akademi Fantasia, Nubhan Ahamad, Mila Jirin dan Diddy Hirdy menyambut cahaya mata mereka. Bagi Nubhan dan Mila, mereka menyambut cahaya mata sulung manakala Diddy pula anak kedua.

Rojak Daily Kaw! rasa belum terlambat lagi nak ucapkan tahniah kepada mereka bertiga.

Permata hati Nubhan dan isteri.

Kegembiraan akhirnya bertandang juga akhirnya dalam hidup penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim keenam apabila kini bergelar bapa. Isterinya Afifah Hidayah Taufek selamat melahirkan anak sulung perempuan mereka kira -kira jam 9.45 malam pada 10 Mei lalu. Penyanyi Ada Untukmu turut berkongsi berita berkenaan di laman Instagramnya.

Awal tahun 2016, isterinya pernah mengalami keguguran.  Bayi perempuan itu diberi nama Aafiya Kamilia. Aafiya dilahirkan secara normal di Hospital KPJ Seremban dengan berat tiga kilogram.

Nubhan dan puterinya, Aafiya Kamilia.

“Alhamdulillah kami sudah menjadi ibu dan ayah. Harapnya  anak perempuan kami ini akan membawa bahagia dalam setiap langkah yang kami atur. Semoga yang baik-baik sahaja untuk kami dan dia.

“Biar pernah diuji dengan keguguran awal tahun lalu, akhirnya rezeki kami tiba juga dengan kehadiran Aafiya. Gembira saya bukan kepalang. Nikmatnya tak terkata dan indah sungguh kurniaan Tuhan ini kepada kami,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Menurut Nubhan lagi, isterinya kini juga dalam keadaan stabil dan dalam tempoh berpantang.

“Doakan bayi kami sihat dan membesar dengan baik juga ya,” katanya yang berkahwin dengan Afifah pada 29 Ogos 2015 di Seremban, Negeri Sembilan.

Mila dan suami bersama Mohd Arif Zikri.

Juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin pula selamat melahirkan anak lelaki sulungnya 12 Mei lalu kira-kira jam 9.45 malam. Bayi comel diberi nama Mohd Arif Zikri itu dilahirkan dengan berat 2.78 kilogram di Hospital Columbia Asia, Puchong. Penyanyi lagu Persis Mutiara itu turut berkongsi berita gembira itu di laman Instagram beliau.

Mila yang dihubungi Rojak Daily Kaw! memaklumkan anaknya itu pada asalnya mahu dilahirkan secara normal. Namun atas beberapa komplikasi yang terjadi termasuk dirinya yang bersaiz kecil, pihak hospital menyarankan anaknya dilahirkan secara pembedahan. Mila dimasukkan ke hospital sejak malam Isnin minggu lalu.

“Saya dimasukkan ke hospital kerana air ketuban pecah. Agak lama juga saya dimasukkan ke hospital kerana tanda tanda nak beranak belum ada sepanjang empat hari itu. Cuma pada malam Jumaat lalu saya rasa sakit sangat dan itu sebenarnya sebagai isyarat bahawa anak kami sudah mahu keluar.

“Saya dimasukkan ke dalam dewan pembedahan dari jam 3 petang hingga 8 malam. Alhamdulillah proses bersalin cukup senang. Dalam 45 minit sahaja, segala-galanya dipermudahkan,” katanya.

Menurut Mila yang diberi pelbagai ubat tahan sakit, dia sejurus selepas bersalin terus tidak sedarkan diri.

“Masa itu baharulah tahu bagaimana kepayahan dan keperitan ibu melahirkan saya. Tapi ia tetap menjadi nikmat terindah. Alhamdulillah saya dan anak sihat belaka,” katanya yang kini sudah berada di rumah di Puchong untuk menjalani pantang.

Mila yang berkahwin dengan pengurusnya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha pada November 2015 pernah diuji dengan berita keguguran pada Jun tahun lalu.

 Anak kelahiran Glasgow, Scotland.

Sementara itu, penyanyi yang diasah bakat menerusi Akademi Fantasia musim keempat, Diddy Hirdy memaklumkan isterinya, Allen Nor Azah Musa yang dinikahi sejak Februari 2010 selamat melahirkan anak kedua pada 12 Mei lalu. Bayi lelaki dengan berat 3.06 kilogram itu dilahirkan di Hospital Queen Elizabeth University, Glasgow, Scotland, pukul 12.31 pagi waktu tempatan.

Abid Syabil yang bermaksud Bintang Yang Beribadah.

“Alhamdulillah anak kedua kami dilahirkan pada malam Nisfu Syaaban. Sebak rasanya kerana ini kali pertama saya melihat sendiri isteri melahirkan anak secara normal. Melihat kesakitan yang dialami isteri, buat saya menangis. Bertambah sedih saat anak dilahirkan. Betapa besar keperitan mereka yang bergelar ibu. Itu buat saya bertambah sayang dengan isteri,” kata Diddy.

Menurut Diddy anak pertamanya, Nadra Aryssa Jauza yang bermaksud Bintang Berseri Penuh Keazaman, yang kini berumur enam tahun dilahirkan secara pembedahan.

Diddy kini mempunyai sepasang cahaya mata.

“Ketika Jauza dilahirkan saya tak berpeluang menemani isteri di bilik pembedahan kerana sibuk dengan pementasan teater Terima Kasih Cinta. Sebab itu pengalaman anak kedua ini saya rasa teruja lain macam. Syukur semuanya dipermudahkan. Keadaan isteri pun okey. Kami membuat keputusan untuk menamakan putera kami, Abid Syabil, yang bermaksud Bintang Yang Beribadah,” katanya.

Diddy ketika ini sudah lima bulan menyambung pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang muzik di University of Glasgow, Scotland.

 
 
Comments