Fazura Bintangi Hero Seorang Cinderella

Sedang mencipta keserasian bersama Fattah Amin.


  • Share:

Fazura Bintangi Hero Seorang Cinderella
Fazura menganggap rezeki tiba tepat pada masanya. (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

Kerinduan yang menebal untuk berlakon drama ditambah dengan permintaan peminat yang mahu melihat dirinya beraksi di layar kaca membuatkan hati pelakon Nur Fazura Sharifuddin cair dan akhirnya bersetuju untuk membintangi drama rantaian 24 episod berjudul Hero Seorang Cinderella.

Bagaimanapun menurut Fazura, untuk memberikan kata persetujuan terhadap tawaran yang datang, tidaklah semudah yang disangka. Bukan kerana soal bayaran ataupun kata-kata negatif yang dilemparkan membuatkan hatinya berbelah-bagi. Sebaliknya beliau tidak mahu melanggap prinsip diri yang enggan membawakan watak yang klise.

Mencipta keserasian bersama.(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

“Pada awalnya, saya agak keberatan untuk menerima tawaran Michael Ang kerana bimbang dengan jalan ceritanya. Saya tidak mahu dilabelkan sebagai pelakon yang terikat dengan watak klise kerana karakter seperti Cinderella sudah terlalu kerap saya lakonkan sebelum ini.

“Selepas merujuk beberapa pihak dan juga diyakinkan oleh pengarah ia bukan seperti cerita Cinderella asal dan lebih menekankan kepada isu feminisme, baru hati saya terbuka untuk menerimanya,” terang aktres jelita ini kepada Rojak Daily Kaw!

Bersama pengarah, Michael Ang.(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

Sepanjang tempoh empat tahun tidak membintangi drama bersiri kata Fazura semua itu adalah atas kehendaknya sendiri yang lebih selesa berlakon filem kerana ia tidak menuntut masa yang begitu panjang buatnya berbanding drama rantaian.

Bagi Fazura, tawaran itu datang tepat pada masanya malah menganggapnya sebagai rezeki yang diberikan Allah yang tidak pernah dijangka.

Gandingan yang dianggap paling mantap untuk drama rantaian Hero Seorang Cinderella.(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

“Saya percaya kalau sesuatu itu tidak bagus, pasti akan ada banyak rintangan yang terpaksa saya hadapi. Dalam hal ini, semuanya dipermudahkan dan segala urusan berjalan dengan lancar,” kata pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 ini.

Sambung Fazura lagi, selain faktor bayaran, ada beberapa faktor lain yang membuatnya teruja untuk menjadi sebahagian daripada barisan utama drama itu.

“Kali terakhir saya membintangi drama adalah sekitar 2013 menerusi Kisah Cinta. Selepas itu, saya memberikan fokus lebih kepada filem. Tahun ini, saya memang berhasrat untuk kembali berlakon drama dan saya menerima tawaran membintangi sebuah produksi televisyen pada September depan.

Hero Seorang Cinderella sudah mula menjalani penggambaran.(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

“Tidak sangka pula, rezeki untuk berlakon drama tiba lebih awal apabila saya ditawarkan membintangi Hero Seorang Cinderella. Memandangkan sepanjang dua bulan ini saya tidak sibuk, saya bersedia menerima tawaran yang datang,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya berlakon dengan Fattah Amin yang memegang watak sebagai Tengku Ian Uzzam, Fazura memberitahu aktor tersebut masih lagi malu-malu dengannya.

“Kami baru saja dua hari berlakon bersama. Diakui, pada mulanya Fattah memang nampak malu-malu dengan saya. Tapi saya bekerja keras supaya dia nampak selesa dan keserasian antara kami wujud. Alhamdulillah, sekarang ini dah okay,” cerita Fazura yang memegang watak sebagai Nura Medina dalam drama 24 episod itu.

Selain pasangan terbabit, drama ini juga dibintangi pelakon seperti Uqasha Senrose, Datin Zizie Ezette dan Lisdawati.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top