Gema Gegar Vaganza Di Astro Oasis Menepati Syariat

Semua persembahan berunsurkan lagu ketuhanan dan islamik.


  • Share:

Gema Gegar Vaganza Di Astro Oasis Menepati Syariat
Gema Gegar Vaganza, program terbaharu di Astro Oasis. (Kredit Gambar: Chempaka Nur Iman)

Selepas kejayaan Gegar Vaganza (GV), Astro Oasis pula memperkenalkan program pertandingan realiti nyanyian pertama, Gema Gegar Vaganza (GGV) yang menggunakan konsep GV namun mempertaruhkan lagu ketuhanan.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata pihaknya memastikan GGV ini menepati syariat dengan memantau pengisian rancangan terbabit supaya kekal dengan matlamat asal selain memberi impak serta dapat menarik penonton baharu.

"Gema Gegar Vaganza adalah pembaharuan dilaksanakan Astro Oasis selepas sedekad bersiaran. Pemilihan dendangan bersifat Islamik dan perlu selari dengan imej saluran ini.

Ana Rafali turut menjadi salah seorang peserta. (Kredit Gambar: Chempaka Nur Iman)

"Kami mempunyai penasihat yang akan memperhalusi pengisiannya. Formatnya memang mengikut acuan Gegar Vaganza namun pilihan dendangan sepanjang lapan minggu menjurus kepada lagu ketuhanan, "katanya pada majlis pelancaran dan sesi memperkenalkan 10 peserta semalam.

Kata Raqim, cabaran musim pertama ini ditunjangi empat kumpulan iaitu Hijjaz, Saujana, Mirwana dan UNIC selain enam peserta solo yang terdiri daripada Hafiz Hamidun, Ana Rafali, Bienda, Azmi Caliph Buskers, Izam EYE serta Wani.

"Kami memilih 10 penyanyi dari pelbagai generasi malah penampilan berkumpulan serta artis solo memberikan variasi. Dari segi pemarkahan, masing-masing tetap diadili sama rata oleh ketiga-tiga juri profesional," katanya lagi.

Raqim bersama pengurus saluran Astro Oasis, serta juri tetap Farihin dan Oki.(Kredit Gambar: Chempaka Nur Iman)

Menampilkan Farihin Abdul Fatah dan selebriti Indonesia, Oki Setiana Dewi selaku juri tetap, program yang mendapat pemarkahan penuh dari barisan juri termasuk seorang juri undangan mingguan, pengacara pula menonjolkan gandingan Siti Nordiana, Achey (Bocey) serta Fikri (Lawak Solo).

Juara bakal membawa pulang ganjaran wang tunai berjumlah RM100,000, naib juara RM30,000, RM20,000 untuk tempat ketiga manakala pemenang ke empat menerima RM10,000. Masing-masing turut meraih trofi penghargaan.

Sepuluh peserta itu memulakan cabaran selama lapan minggu dengan episod pertama menemui penonton pada 8 April depan yang bakal disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB Cheras mulai jam 9 malam.

Orang ramai juga boleh mengikuti kehangatan cabaran GGV menerusi saluran Astro Oasis (106), Maya HD (134), Astro Ria (104) dan Ria HD (123).


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top