CLOSE
CLOSE

Ayda Jebat Menangis Sambut Hari Lahir Dengan Peminat

Peminat-peminat menganggap Ayda Jebat artis yang ikhlas dan berbaloi untuk diminati.


  • Share:

Ayda Jebat Menangis Sambut Hari Lahir Dengan Peminat
Ayda Jebat terharu dengan sokongan peminat. (Kredit Gambar: Aishah Aziz)

Penyanyi dan pelakon popular Ayda Jebat melahirkan rasa terharu apabila kumpulan peminatnya sanggup berhabis masa, tenaga dan wang demi meraikan hari lahir beliau yang ke 25 pada 17 Mac lalu.

Beliau berkata, dirinya hilang kata-kata apabila mendapat tahu majlis anjuran AJ Screamer VIP itu sudah dirancang sejak setahun lalu dan membabitkan peminat termasuk dari Singapura.

"Mereka terlalu istimewa dan ikhlas dengan kasih sayang sehingga membuatkan saya terharu. Ada yang sanggup ambil cuti demi mahu bersama saya.

Sukaneka diatur sempena sambutan hari lahir. (Kredit Gambar: Aishah Aziz)

"Saya bertuah kerana ada insan yang sayang saya sehingga ke tahap ini," katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Pada 18 dan 19 Mac lalu, kira-kira 100 peminat setia penyanyi lagu Pencuri Hati itu berkampung di pantai Port Dickson mengaturkan pelbagai acara meraikan hari lahir penyanyi dan pelakon kesayangan mereka itu.

Ayda turut dihujani dengan pelbagai hadiah daripada peminat yang turut membuat persembahan untuk menghiburkan Ayda.

Air mata penyanyi yang turut dikenali sebagai Kenid itu gugur laju, selepas menonton ucapan penghargaan peminat yang mengakui mereka menyayangi Ayda lebih dari seorang artis.

Bagi mereka, Ayda adalah artis yang ikhlas dan berbaloi untuk diminati.

Ayda berkata, beliau terharu kerana rasa dihargai dan disayangi oleh ramai peminat yang tidak henti melayangkan ucapan, termasuk berkongsi gambar bersamanya di laman Facebook, Twitter dan Instagram.

"Saya terharu apabila membaca ucapan daripada mereka yang mendoakan perkara baik-baik buat diri saya.

"Bukan mudah untuk kita mencuri hati orang dan membuatkan orang menyenangi kita. Saya bersyukur kerana dianugerahkan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni dan peribadi saya," katanya.

Kesayangan AJ Screamer yang tak berbelah bagi.(Kredit Gambar: Aishah Aziz)

Beliau akur bukan semua pihak menyenangi dirinya, namun bersyukur apabila ada kelompok peminat, yang dipanggil AJ Screamer, sentiasa menjadi tulang belakang dirinya.

Ayda yang juga anak sulung daripada empat beradik dilahirkan pada 17 Mac 1992 di Merlimau, Melaka.

Bercerita lanjut, Ayda berkata, sempena pertambahan usianya, beliau berharap kehidupan peribadi dan kerjaya seninya berjalan seiringan.

Sebahagian peminat Ayda Jebat yang turut meraikan hari lahirnya.(Kredit Gambar: Instagram Ayda Jebat @aydajebat)

Akuinya, fokus utama kini adalah terhadap kerjaya, terutama dalam usaha membuktikan bakat nyanyian dan lakonannya bertambah baik dari hari ke hari.

"Saya mahu semua pihak menerima saya dan tahu saya serius dengan kerjaya seni, selain bersedia menerima cabaran serta teguran untuk menjadi lebih baik.

"Saya percaya, setiap perkara dilakukan dengan ikhlas akan diterima positif oleh semua pihak," katanya.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top