Rojak Daily Logo

Selepas Angkat Kaki, Sheeda Angkat Tangan

0
comments
Selepas Angkat Kaki, Sheeda Angkat Tangan
Sheeda kini kembali memeriahkan industri lagu dangdut (Kredit Gambar: Malaysia Gazette)

Ingat lagi dengan penyanyi Angkat Kaki? Pasti ingatkan, Sheeda yang juga bekas peserta rancangan Gegar Vaganza 2.

Satu perkara positif mengenai penyanyi ini, beliau tidak mudah melenting meskipun ada kala berdepan dengan gurauan kasar terutama mengenai dirinya yang bersuami muda.Kata empunya diri, beliau tidak mahu ambil pusing mengenai komen yang tidak membina.

"Saya syukur kerana masih bertahan sehingga ke hari ini dan masih ada peminat sendiri.

"Mereka banyak membantu saya dan menyokong saya tanpa jemu," katanya kepada Rojak Daily Kaw.

Ketika bertemu baru-baru ini, Sheeda bagaikan memberi bayangan dirinya mahu berhijrah ke arah yang lebih baik seperti saranan peminat.

"Ramai yang mahu saya berubah termasuk mahu bertudung. Saya memang memikirkan itu secara serius," akuinya.

Sheeda ingin melakukan perubahan ke arah kebaikan (Kredit Gambar: MeleTOP)

Pernah hit dengan lagu seperti 'Secangkir Madu Merah' dan 'Sini Cinta Sana Cinta', Sheeda mengakui akan mencuba sesuatu yang baharu tidak lama lagi.

"Saya bukan mahu bersara, masih menyanyi tetapi dengan penampilan lain," katanya masih berteka teki.

Selepas lama tidak muncul dengan single baharu, ibu kepada penyanyi Bienda ini memberitahu dia mahu mengegarkan dunia seni dengan lagu 'Angkat Tangan' yang mempunyai genre muzik sama seperti lagu 'Angkat Kaki'.

Akuinya, lagu itu ada kena mengena dengan apa yang ingin dilakukan pada masa depan.

"Ini sebagai simbolik mengenai perubahan saya nanti, apapun tunggu," katanya.

Lagu berkenaan mendapat sentuhan Ramadha, anak kepada penyanyi dan pasangan duetnya sebelum ini iaitu Iwan.

Sheeda juga memberitahu, beliau akan memperkenalkan seorang lagi anaknya, Alin, 16, sebagai penyanyi dalam masa terdekat ini.

"Dia minat dan saya berikan sokongan kepadanya," katanya.

Sheeda berkata, dirinya melihat perkembangan positif terhadap penerimaan irama dangdut pada masa kini.

Baginya, dangdut adalah muzik evergreen yang boleh menghiburkan semua peringkat umur dan lapisan masyarakat.

"Saya gembira sebab ada setesen radio sudah mula putarkan lagu irama dangdut. Ini adalah perkembangan yang sangat baik," katanya.

 
 
Comments