"Bukan Mudah Mempertaruhkan 10 Lagu, Tetapi Demi Kepuasan Sendiri Dan Pihak Yang Membeli, Saya Kongsikan Bersama Mereka." - Dato' Siti Nurhaliza

Masuk studio untuk rakam album baharu.


  • Share:

Dato' Siti Nurhaliza mula merakamkan lagu untuk album baharu. (Kredit Gambar: Instagram Dato' Siti Nurhaliza @ctdk)

Di saat industri muzik tanah air berdepan dengan saat sukar dan penghasilan single menjadi budaya syarikat rakaman, Datuk Siti Nurhaliza tetap tegar untuk menghasilkan album solo. Kali terakhir diva ini muncul dengan album solo penuh adalah sekitar tiga tahun lalu menerusi album Fragmen.

Banyak lagu menarik dalam album itu dan sehingga ke hari ini ia masih menjadi siulan peminat. Walaupun situasi masih sama, Siti tidak pernah menganggap itu sebagai kekangan untuk tidak menghasilkan album. Dan sebagai menunaikan janji yang pernah dilafazkan sebelum ini, pemilik vokal hebat ini sedang berjuang di studio rakaman untuk rakaman album baharu yang masih belum diberi judul.

Bersama Aubrey Suwito ketika merakamkan lagu Bersandar Cinta.(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

Kata Siti kepada Rojak Daily Kaw!, walaupun menyedari ada risiko yang menanti namun dia enggan ambil peduli kerana ada berasakan itu adalah satu tanggungjawab buatnya sebagai seorang penyanyi.

“Melihat kepada faktor ekonomi sekarang, Siti akui memang ada terfikir untuk menghasilkan album mini saja. Iyalah, kos untuk pembikinan album penuh bukannya sedikit.

“Bagaimanapun, selepas mendapat sokongan daripada Universal Music Malaysia (UMM), Siti teruskan saja hasrat menghasilkan album penuh. Jadi, dengan sokongan mereka, Siti tidaklah terbeban sangat.

“Apabila difikirkan semula, bukan mudah untuk pertaruhkan 10 lagu baharu. Radio pun bukannya memutarkan semua lagu terbabit. Paling banyak diputarkan pun empat lagu. Namun, demi kepuasan Siti sendiri, selain mereka yang menghasilkan muzik dan pihak yang membeli album ini, selain berkebetulan ada rezeki, Siti kongsi bersama mereka, ”ujar Siti ketika ditemui selepas merakamkan lagu baharu ciptaan Aubrey Suwito, Bersandar Cinta, baru-baru ini.

Siti di dalam studio merakamkan lagu untuk album terbaharu.(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

Untuk album yang dijangka berada di pasaran awal Mei depan, lagu yang dipilih adalah hasil senarai pendek daripada 300 karya yang diberikan kepadanya.

“Alhamdulillah, sambutan memang menggalakkan. Daripada 300 lagu yang dihantar, Siti hanya memilih 10 yang terbaik dan bersesuaian dengan konsep album. Sehingga kini pun masih ada lagi pihak yang menghantar lagu ciptaan mereka dan Siti sangat menghargai usaha mereka.

“Siti banyak bekerjasama dengan komposer baharu dan lama dalam album ini. Paling senior ialah Aubrey sendiri, manakala komposer baharu pula ialah Sid Murshid dan Amirah Ali. Siti juga turut bekerjasama dengan komposer dari Indonesia seperti Opick, Ivan Lahardika dan Ade Govinda,” ujar penyanyi kesayangan ramai ini.

Bersama orang kuat di belakang tabir.(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)

Selepas berduet dengan Chakra untuk lagu Seluruh Cinta, isteri kepada tokoh korporat, Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa, ini bakal berduet pula dengan penyanyi bersuara mantap, Judika.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa perlu berduet dengan penyanyi lelaki lain sedangkan ketika ini penyanyi kesayangan ramai itu sedang hangat dengan lagu Dirgahayu, hasil kolaborasi dirinya dengan Faizal Tahir.

Menjawab pertanyaan itu, Siti berkata, hasrat untuk berpadu suara dengan si pelantun lagu Jadi Aku Sebentar Saja itu sudah lama dibuat, namun baru sekarang ia terlaksana.

“Perancangan ini timbul selepas kami berduet sempena Anugerah Planet Muzik tidak lama dulu, tetapi nampaknya rezeki Chakra yang datang lebih awal.

“Apabila Judika sendiri bersetuju untuk berduet dengan Siti, maka Siti menerimanya dengan senang hati. Orang kata, rezeki jangan ditolak,” katanya yang akan berangkat ke Jakarta dalam masa terdekat ini untuk proses rakaman.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top