CLOSE
CLOSE

"Tiada Tempat Untuk Artis Buat Persembahan" - Datuk Sheila Majid

Bergantung pada pusat hiburan, banyak tempias negatif.


  • Share:


(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr)

Setiap kali bertentang mata dengan diva yang satu ini, Dato Sheila Majid, pasti akan ada saja cerita menarik yang ingin dikongsikan bersama. Biasanya, cerita yang disampaikan lebih kepada apa yang berlaku terhadap industri muzik tanah air. Jarang sekali penyanyi ini bersembang kosong dengan media yang ditemuinya dalam apa juga acara.

Sepanjang tiga dekad dalam industri dan sudah membuat persembahan di merata tempat, Sheila mengakui industri muzik tanah air masih ketandusan ruang untuk golongan artis membuat persembahan sehingga mereka terpaksa bergantung kepada pusat hiburan.

Situasi itu menyebabkan khalayak memandang serong pada anak seni.

Mana tidaknya, tempat sebegitu sering dikaitkan dengan gejala tidak baik dan penggunaan alkohol. Walaupun tidak semua tapi sedikit sebanyak terkena juga tempiasnya.

Perlu ada tempat khusus untuk artis membuat persembahan. (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr)

“Kenapa kita terlalu bergantung kepada pusat hiburan untuk mengadakan showcase? Tempat seperti itu tidak sesuai kerana ia sinonim dengan kelab malam dan juga alkohol. Tak semua penonton selesa untuk menyaksikan artis kesayangan mereka beraksi di tempat seperti itu.

“Sudahlah balik lewat, kita baru nak keluar menyanyi, penonton ada yang mabuk dan mengganggu persembahan. Situasi itu menyebabkan orang tak hormat muzik kerana menganggap ia sekadar hiburan walhal muzik itu adalah seni,”tegas si pelantun lagu Sinaran ini dalam nada kecewa.

(Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr)

Justeru, kata Sheila pihak yang berwajib perlu mencari alternatif iaitu dengan mewujudkan sebuah tempat yang boleh dijadikan ruang untuk penyanyi menghiburkan peminat mereka.

“Tempat yang dimaksudkan itu boleh jadi seperti sebuah dewan yang lengkap serba-serbi. Penyanyi hanya bawa badan dan peminat boleh mendengar muzik mereka tanpa perlu risau kena balik lambat ataupun dikaitkan dengan penggunaan alkohol.

Datuk Sheila Majid dilantik sebagai duta kanta optik HOYA (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr)

“Rasanya ramai yang berminat untuk pergi melihat artis kesayangan mereka beraksi di tempat yang tiada alkohol, tanpa pulang lewat malam. Selagi muzik dikaitkan dengan night club dan alkohol, selagi itulah orang akan terus pandang rendah pada muzik dan artis,”kata vogue mama berusia 52 tahun ini kepada Rojak Daily Kaw!

Mungkin apa yang dikatakan ibu beranak empat ini akan menimbulkan perasaan kurang sesetengah pihak. Iyalah, tak ada orang pun yang suka kena tegur namun jika dibiarkan berlarutan, ia memberi impak yang kurang baik terhadap dunia muzik dan juga golongan penyanyi sendiri.

Satu lagi perkara yang membuatkan Ratu Jazz Negara ini terkilan adalah apabila penganjur konsert tidak tahu membezakan mana satu yang lebih penting dalam penganjuran sesebuah konsert.

“Saya perasan yang mereka sibukkan adalah dari segi hiasan, macam mana nak sambut VIP sedangkan perkara paling utama seperti sistem bunyi diabaikan. Dalam poster, mereka meletakkan gambar artis dan penonton beli tiket semata-mata kerana mahu menonton persembahan artis terbabit tetapi bila sistem bunyi teruk, artislah yang akan dipersalahkan,”tegur Sheila.

Terdahulu, Sheila ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta pengeluar kanta optik, HOYA yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebagai pengguna setia jenama terbabit, tawaran yang diterima itu diterima dnegan penuh senang hati.

“Saya memang gemarkan sesuatu yang berkualiti dan apabila menggunakan cermin mata, sudah tentu saya akan mencari kanta optik yang berkualiti seperti Hoya.

“Sebagai selebriti yang sering menjadi idola masyarakat serta peminat, sudah tentu saya mahu peminat saya menggunakan barang yang berkualiti juga,”ujar Sheila yang mengikat kontrak selama 15 bulan dengan jenama berkenaan.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top