Rojak Daily Logo

Dayang Nurfaizah Bakal Lahir Album Baharu

0
comments
Dayang Nurfaizah Bakal Lahir Album Baharu
Album terbaharu sebagai tanda penghargaan kepada peminat (Kredit Gambar: InTrend Malaysia)

Selepas melakar momen indah sebaik melangkah ke tahun 2017, penyanyi hebat negara Dayang Nurfaizah terus mengorak langkah dan tidak mahu terlalu lama meraikan kejayaan yang dicapai.

Penyanyi vokal emas ini bakal melahirkan album terbaharunya tidak lama lagi dengan menghimpunkan 10 lagu terbaik untuk penggemarnya.

“Album ini bakal keluar pada tahun ini juga selepas tertangguh beberapa kali. Saya mahukan yang terbaik dan tidak hanya semata-mata keluarkan album.

“Saya akui memang terlibat secara langsung dalam setiap proses penghasilan album kali ini khas untuk peminat dan pada masa sama saya turut berpuas hati,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini juga berkata tiga single popularnya iaitu Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung akan dimuatkan dalam album berkenaan.

Dayang terlibat secara total dalam pembikinan album terbaru. (Kredit Gambar: InTrend Malaysia)

Meskipun ramai penyanyi yang memilih untuk mengeluarkan hanya single, Dayang tetap mahukan sebuah album fizikal kerana ia bagaikan resume bagi seorang penyanyi itu.

Beliau mengakui pasaran muzik memang tidak begitu baik, namun ia bukan alasan untuk dirinya mengambil mudah produk muzik yang mahu dihasilkan.

“Saya memang mahukan album fizikal, tapi alang-alang buat memang saya mahu hasil yang terbaik.

“Bagi saya ini adalah koleksi untuk saya kongsikan dengan peminat yang sudi menyokong,” katanya yang tidak keterlaluan andai dikategorikan sebagai artis gred A negara.

Terbaharu, Dayang muncul sebagai penampilan istimewa dalam single Malique berjudul Pejamkan Mata.

Dayang berkata, dia terharu dengan pelawaan yang diberikan oleh Malique dan menganggap peluang yang diberikan tidak wajar dilepaskan.

Dayang juga impikan konsert solonya sendiri. (Kredit Gambar: InTrend Malaysia)

“Saya percaya semua penyanyi menyimpan impian untuk bekerjasama dengan Malique yang mempunyai sentuhan karya muzik yang baik.

“Saya akui meskipun kami tidak rakamkan secara bersama malah saya sendiri tidak bersua muka dengan Malique, tetapi ini adalah pengalaman berharga,” katanya.

Mengenai konsert solo dirinya, Dayang tidak menolak mengenai perkara itu namun perbincangan yang terperinci perlu dilakukan.

“Memang ada impian untuk membuat konsert, Cuma banyak perkara yang perlu diambil kira. Saya harap peminat mendoakan ada rezeki buat saya,” katanya.

 
 
Comments