Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Dulu Dilarang Tapi Kini Megadeth Akhirnya Beraksi Di Kuala Lumpur

Band thrash metal ini mengadakan persembahan siri jelajah Asia sempena album baru, Dystopia.

0
comments
Dulu Dilarang Tapi Kini Megadeth Akhirnya Beraksi Di Kuala Lumpur
Megadeth menganggap Kuala Lumpur sentiasa menjadi lokasi pilihan mereka apabila membuat persembahan jelajah ke negara Asia. (Gambar: Megadeth)
Bagi peminat genre thrash metal, mereka pastinya tersenyum lebar apabila mengetahui band kegemaran mereka, Megadeth datang ke negara ini untuk membuat persembahan. Band yang ditubuhkan pada tahun 1983 dari Los Angeles, California, Amerika Syarikat ini pernah dihalang untuk membuat persembahan di sini pada tahun 2001 kerana pengaruh muzik mereka dikatakan membawa kesan negatif pada peminatnya.

Namun, buat julung kalinya band yang mempunyai empat anggota ini akhirnya mengesahkan akan beraksi di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 4 Mei ini. Menerusi persembahan Megadeth Live In Malaysia, persembahan dijangka berlangsung jam 8 malam dibawakan penganjur, IME Malaysia.

Ketua kumpulan, Dave Mustaine berkata, Kuala Lumpur sentiasa menjadi lokasi pilihan mereka apabila membuat persembahan jelajah ke negara Asia. Malah, dia menyifatkan peluang menyaksikan persembahan band ini tidak seharusnya dilepaskan untuk berhibur dengan muzik trash metal yang dibawakan band ini.



Penganjur dalam satu kenyataan memberitahu kunjungan band terkenal ini adalah persembahan siri jelajah sempena kemunculan album baru mereka, Dystopia yang juga album ke-15 mereka sepanjang berkecimpung dalam bidang muzik sejak lebih tiga dekad. Bagi pengkritik muzik, album terbaru ini dianggap sebagai karya paling sukses buat band ini.

Lebih bermakna, selain pencapaian jualan 49,000 unit album yang dijual dalam masa seminggu, Dystopia  juga menduduki tempat ketiga Carta Billboard Top 200 bersama-sama Adele dan Justin Bieber. Ia adalah pencapaian tertinggi yang pernah diraih band ini sejak tahun 1992 menerusi album Countdown to Extinction yang berjaya menduduki tempat kedua di dalam carta sama. 

Megadeth berjaya mencatat jualan lebih 50 juta album di seluruh dunia, menerima pelbagai pengiktirafan termasuk 12 pencalonan anugerah Grammy serta menerima anugerah platinum untuk lima album berturut-turut. Kepada peminat Megadeth, tiket berharga RM428 (Deth Pitt Zone, berdiri bebas), RM388 (VIP, tempat duduk bernombor), RM358 (Rock Zone, berdiri bebas), RM288 (CAT1, tempat duduk bernombor) dan RM198 (CAT2, tempat duduk bebas) boleh dibeli menerusi TicketCharge online di www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian 03-92228811. 

Peminat juga boleh membeli tiket dari kedai muzik terpilih seperti Speedy video, Victoria Music, Rock Corner, Chambers Music, PJ Live Arts, kaunter maklumat di The Mines shopping mall atau 1 Shamelin, Eden Ultimate (Kuantan) dan juga Blonde Brunette (Penang). Tiket akan mula dijual pada 10 Februari ini bermula jam 11 pagi.
 
 
Comments