Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Antara Prestij dan Pertunjukan Sekolah

Bertemakan 'Cerita Dalam Lagu', ada yang menginterpretasikan secara langsung.

0
comments
Antara Prestij dan Pertunjukan Sekolah
Mampukah Anugerah Juara Lagu terus memperjuangkan lagu-lagu yang berkualiti (Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Menonton Anugerah Juara Lagu ke-31 kali ini membuatkan kita terfikir tentang kreativiti seseorang penyanyi atau kumpulan menyampaikan cerita di dalam lagu.

Bermula dengan cemerlang apabila Jaclyn Victor membuka anugerah dengan lagu 'Gemilang' diiringi oleh pemenang Asia's Got Talent, El Gamma Penumbra daripada Filipina. Arah tuju penganjur menampakkan hasil yang hebat. Tetapi keadaan mula bertukar apabila pertandingan bermula.

Akim & The Majistret - Obses

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Tidak mahu mempertikaikan soal lagu, tetapi pilihan mereka untuk berpakaian villain kepada Batman terlalu jauh dengan tema pertandingan. Adakah itu yang dimaksudkan dengan obses? Menjadi penjahat? Ramai netizen mempersoalkan persembahan mereka. Ada yang secara berseloroh berkata, "Mereka tak tahu ke, villain sememangnya kalah?"

Aiman Tino - Ku Rela Dibenci

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Persembahannya sangat amatur di pentas sebesar AJL. Bak kata seorang teman, "Datuk Siti Nurhaliza juga berumur 17 tahun ketika beliau menang Anugerah Juara Lagu". Bermakna, bukan soal umur yang menjadi ukuran, tetapi soal persediaan yang dibuat. Banyak kali suaranya hanya tenggelam dek orkestra  yang mengiringi persembahan.

Black - Anugerah Terindah

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Tidak ada orang boleh menafikan vokal Black, dan walaupun tidak disebut pada malam tersebut, Black pernah memenangi Vokal Terbaik di AJL. Tetapi menjadi kapten kapal? Interpretasi 'Cerita Dalam Lagu' bukan melalui pakaian yang bukan-bukan, malah kehebatan vokal juga mampu menyampaikan cerita di dalam sesebuah lagu.

Elizabeth Tan dan Awi Rafael - Setia

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Tidak ada apa yang dapat diingati melalui persembahan mereka kecuali membezakan penyanyi rakaman dan penghibur di pentas. Elizabeth kerdil jika dibandingkan dengan Awi Rafael, apatah lagi jika berpadu suara dengan Faizal Tahir.

Mawi dan Syamsul Yusof - Kalah Dalam Menang

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Baru timbul persembahan yang bertenaga dan seiring dengan prestij sebuah pertandingan sebesar AJL. Cerita dalam lagu yang hendak disampaikan tanpa perlu props yang pelik sampai dengan berkesan. Siapa sangka, Syamsul sangat berpotensi untuk menyampaikan rap dengan baik, segar, bertenaga dan  boleh difahami butirannya.

Khalifah - Hang Pi Mana

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Satu kampung di bawa ke atas pentas. Interpretasi lagu secara langsung lirik di dalam lagu tersebut. Kalau ini bentuk persembahan yang membolehkan mereka yang bertanding menang anugerah persembahan terbaik, mungkin tahap industri muzik kita masih terlalu jauh untuk ke hadapan.

Suffian Suhaimi - Terakhir

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Gemuruhnya masih nampak dengan suaranya yang tenggelam timbul. Props ranting kering yang sering diulang-ulang dalam mana-mana persembahan, hatta untuk persembahan pertandingan realiti. 

Hazama - Di Amaran Mama

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Konsepnya ada tetapi untuk memahami interpretasi lagu tersebut, entahlah! Mungkin dia mahu lari daripada menggunakan tradisi penari-penari yang mengiringi persembahan. Cuma, ini pertandingan lagu, pertandingan lirik, tetapi terlalu ramai yang kisah untuk menang persembahan terbaik. Fokus kepada vokal untuk menyampaikan lirik lagu dengan sempurna jatuh nombor dua.

Dayang Nurfaizah - Lelaki Teragung

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Boleh dikatakan 'penyelamat' anugerah berprestij ini. Tumpuan persembahan beliau adalah memberikan yang terbaik dari segi vokal untuk menceritakan lirik lagu secara sempurna diiringi oleh ciptaan lagu yang syahdu. Bila anda ada 'pasukan' yang memahami betapa pentingnya vokal itu untuk memberikan 'justice' kepada sesebuah lagu, anda tidak perlu props bukan-bukan.

Hafiz Suip dan Misha Omar - Terima ku Seadanya

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Pasangan yang menambah kepada kehebatan Anugerah Juara Lagu ke-31. Cukup dengan raut wajah dan vokal yang mantap, butir-butir cerita dalam lagu yang ingin disampaikan melekat di jiwa. Kedua-duanya pernah memenangi anugerah vokal terbaik di AJL dan pastinya paduan suara mereka mengagumkan. Bukahkah prestij sering diulang-ulang untuk menggambarkan anugerah ini?

Projector Band - Sudah Ku Tahu

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Kalaulah mereka buang lakonan drama 80an di awal-awal persembahan, pasti selayaknya Projector Band menjadi antara kumpulan yang turut sama berada dalam kelompok yang mengangkat prestij pertandingan ini. Bukan sahaja lagunya mantap tetapi juga sangat popular, dan sudah cukup untuk mengangkat mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Shila Amzah dan Alif Sattar - Selamanya Cinta

(Kredit Gambar: Twitter TV3 @tv3malaysia)

Gabungan suara mereka, gerak langkah dan bicara badan sudah cukup untuk menyampaikan cerita di dalam lagu yang disampaikan. Persembahan mereka antara persembahan yang membezakan profesional dan amatur.

Nostalgia persembahan-persembahan di pentas AJL tahun-tahun sebelumnya sepatutnya menjadi nilai ukuran kepada mereka yang kali pertama atau baharu berjaya menembusi pentas AJL.

 

 
 
Comments