Rojak Daily Logo

Papi Zak Jamah Lembu Naik Atas Bukit

0
comments
Papi Zak Jamah Lembu Naik Atas Bukit
Papi Zak menyatakan pengalaman mengacara program ini sangat menyeronokkan kerana dapat melancong dan mencuba makanan yang belum pernah dimakan.

Mencari makanan halal di luar negara seperti Manila, Filipina dan Siem Reap, Kemboja semenangnya memberi cabaran pada pelancong beragama Islam. Mungkin jika ada ia sukar ditemui atau tiada maklumat lengkap mengenai restoran yang menjual makanan halal.

Berkongsi informasi bersama penonton, pengacara program The Halal Foodie, Papi Zak menjelajah ke beberapa negara di Asia untuk melaksanakan cabaran mencari makanan halal dan paling penting, dia sendiri mencuba makanan itu. Jelasnya, dia tidak menyangka destinasi seperti Siem Reap mempunyai makanan halal dalam satu kawasan yang mempunyai restoran dan masjid.

”Makanan di sana luar biasa dan pelik tetapi apabila merasainya ia sungguh sedap seperti makanan Lembu Naik Atas Bukit. Manila senang juga kerana di sana sebelah gereja ada komuniti Islam dan masjid. Seperti di Malaysia, mereka juga mempunyai makanan seperti sayur, ikan masak gulai dan kebanyakan mereka adalah kaum Mindanao, jadi tidak susah mencari makanan halal,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Rojak Daily Kaw! di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Tambahnya, dia bertuah mendapat tawaran sebagai pengacara program ini selepas terbabit dalam produksi bersama Hans Isaac sebelum ini. Bekas penyampai radio Red FM dan Lite FM ini menyatakan cara dia makan menarik minat produser program ini yang memberi peluang padanya untuk mengacara program baru ini.

“Pengalaman dalam program ini sangat seronok kerana dapat melancong dan mencuba makanan yang belum pernah saya makan. Cabaran pada saya pula adalah tidak boleh menghabiskan makanan yang dicuba. Produser selalu marah pada saya kenapa saya habiskan makanan,” katanya yang gemar berjenaka.

Bercerita latar belakang diri sebelum berkecimpung sebagai pengacara dalam program ini, Zak atau nama sebenar, Mohd Zakry Kamal, 38, menyatakan ketika tamat pengajian di universiti, dia diajak rakannya menyertai produksi bersama Hans Isaac di The Actor’s Studio, Bangsar dan bertemu dengan Harith Iskander sebelum mencuba bakat berlawak di atas pentas.

Katanya, dia mendapat respon positif daripada penonton yang memberi galakkan padanya untuk menjadi pelawak sepenuh masa. Selepas mengadakan persembahan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, dia mula dikenali ramai. Selain Siem Reap dan Manila, program The Halal Foodie juga menjelajah Bangkok, Kota Kinabalu, Singapura, Chiang Mai, Padang dan Lombok, Indonesia manakala ia disiarkan menerusi Astro saluran GOASEAN (saluran 737).

 
 
Comments