Rojak Daily Logo

Bagaimana Gadis Ini Bergelar Penulis Skrip Drama Popular

0
comments
Bagaimana Gadis Ini Bergelar Penulis Skrip Drama Popular
Gadis di sebalik drama popular
Siapa sangka minat asal menulis diari dan menulis puisi hantar ke surat khabar menjadi asas konkrit kepada minat gadis ini menjadi penulis skrip. Bagi Nor Shuhadatul Ain Zakaria, 33, dia tidak menoleh kebelakang lagi apabila melihat kerjaya sebagai penulis skrip memberinya peluang untuk berkarya.
 
 

Menurut Ain, “Apabila dulu saya menulis diari harian, menulis puisi saya sendiri, itu sekaligus menjadi pemangkin untuk saya bergiat secara serius. Kemudian ketika saya menjalani latihan amali di Media Prima, salah seorang penerbit di NTV7 ketika itu, Kamarul Zamli Ramly ingin memberikan tunjuk ajar dan mengajar saya untuk menulis 4 episod sebuah program Asam Garam walaupun saya hanya bergelar intern, itu adalah permulaannya. Tamat sahaja pengajian sarjana muda, saya bekerja dengan MIG dan mereka memberikan seorang mentor kepada saya untuk belajar menulis skrip”.

Menjadikan filem The Green Mile, The Butterfly Effect, Notting Hill dan filem Bollywood Mann sebagai filem kegemaran, Ain rancak bercerita mengenai skrip-skrip drama dan filem yang telah ditulisnya. “Selalunya saya akan menyiapkan proposal drama untuk beberapa syarikat produksi. Dalam sesuatu proposal itu akan ada konsep cerita, cadangan pelakon dan sebagainya. Kemudian jika mereka berkenan, saya akan dipanggil untuk pitching. Apabila berjaya, saya akan mula berjumpa dengan pihak stesen TV dan penerbit untuk proses menulis skrip”, kata Ain

Apabila melakukan perkara yang menjadi minat sejak kecil, sudah pasti kepuasan itu menjadi keutamaan. Ain sangat berpegang pada kualiti dan bagi dirinya, kepuasan itu akan diraih apabila drama atau filem yang dihasilkannya itu dilakukan dengan sehabis baik dan diberikan sepenuh jiwa dan raga. “Biarlah saya tak cukup tidur dan tak sempat nak makan, asalkan saya berpuas hati dengan kualiti skrip yang dihasilkan dan kemudiannya drama atau filem itu mendapat sambutan yang baik daripada rakyat Malaysia, itu sudah cukup memuaskan hati saya. Tapi paling best lagi kalau semua team produksi turut berpuas hati dan memuji hasil kerja saya”, jelas Ain lagi.

 

Namun setiap yang manis pastinya ada yang pahit. Dia pernah beberapa kali ditipu oleh pihak produksi. Menurut Ain, “Ketika mula dulu saya menjinakkan diri dalam dunia penulisan, pernah beberapa kali proposal saya diterima, skrip dah siap dan diberikan kepada pihak produksi tetapi sampai sekarang tak dibayar”. Kami sempat bertanya mengenai bayaran yang diterima sebagai penulis skrip, Ain hanya tersenyum. Katanya mula-mula memang agar sukar namun sekarang ni, semakin bagus. Jadi kami agak, pastinya lumayan.

 

Amat meminati hasil lakonan Remy Ishak dan Beto Kusyairi, Ain ada kata-kata semangat yang menjadi pegangannya iaitu “whoever you are, be a good one”. Jelas Ain lagi, “tak kisah apa yang kita buat, buatlah dengan sepenuh hati dan berikan yang terbaik. Minat dan usaha ni saling berkait jadi ia perlu datang seiring. Jangan sesekali takut dan marah dengan kritikan orang terhadap kita kerana itulah yang ‘membina’ kita. Bak kata pepatah lama, “kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”.

Berkongsi sedikit pendapatnya tentang industri perfileman negara sekarang, Ain berpendapatan kita jauh ketinggalan terutamanya dari segi kewangan, skrip dan sebagainya. Tambah Ain lagi, “ada sesetengah pelabur yang berani membuat kelainan namun kutipan di panggung wayang pula tidak memberangsangkan jadi penggiat seni tidak tahu apa yang penonton mahukan. Jadi ada yang mengambil jalan mudah ‘buat sajalah daripada tiada apa-apa’. Kemudian bila disiarkan dikata sampah jadi tepuklah dada tanya diri masing-masing”

Cukup menggemari skrip filem Notting Hill, “saya sangat teringin nak menghasilkan sebuah cerita cinta yang evergreen dan diingati sepanjang tahun seperti Notting Hill dan juga kisah seperti Shutter Island”, ujarnya diakhir perbualan. 

Skrip drama dan filem hasil nukilan Ain:

1) Cinta Itu Buta (Telefilem - Astro Ria)

2) Jangan Main Belakang Musim 1 (13Ep - Astro Ria)

3) Mertua Vs Menantu Musim 1 (13Ep - Astro Prima)

4) Syurga Cinta (Filem - 2009)

5) Lu’lu (Telefilem - Astro Ria, 2009)

6) Mataku Nampak Hantu (Telefilem - Astro Ria, 2009)

7) Embun Mutiara (Lestary - TV3, 2009)

8) A.D.A.M V (RTM, 2009)

9) Rempit Retro (Astro Warna, 2011)

10) Vanila Colat (TV3, 2012)

11) Ibu Tiriku (Astro Prima, 2012)

12) Vanila Coklat The Movie (Tidak disiarkan)

13) Lembam (TV9, 2013)

14) Vanila Coklat Raya (TV3, 2013)

15) Ku Cinta Kau Seorang (TV3, 2014)

16) Projek Memikat Suami (Astro Ria, 2014)

17) Aku Mahu Superbibik (Astro Ceria, 2014)

18) Papa Yibbie (TV9, 2014)

19) Mama Cupcake (Astro Ria, 2014)

20) Astana Cinta Aleesa (TV9, 2014)

21) Zahira (TV3, 2015)

22) Suamiku Encik Sotong (Astro Ria, 2015)

23) Bidadari (TV3, 2015)

24) Ayuni Safira (TV9, 2015)

25) Isteri Separuh Masa (Astro Ria, 2015)

26) Cucuku Ustaz (Astro Ceria, 2015)

27) Mencintaimu (TV3, 2015)

28) Cinta Masam Manis  (TV3, 2016)

29) Bagaikan Kelip-Kelip (TV3, 2016)

30) Duda Terlajak Laris (TV3, 2016) 

 

 
 
 
Comments