Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

10 Filem Tempatan Yang Membuatkan Anda Tidak Sabar Untuk Ke Panggung

Pelbagai genre menanti, daripada filem aksi kepada komedi romantik, seram dan patriotik!

0
comments
10 Filem Tempatan Yang Membuatkan Anda Tidak Sabar Untuk Ke Panggung
Membuka tirai 2017 tentu ramai yang ternanti-nanti barisan filem menarik serta pelakon yang bakal membintangi filem tempatan tahun ini. Kami senaraikan 10 filem yang mambuatkan anda teruja untuk ke pawagam.

(Kredit Gambar: Instagram @migonline)
1) Dorm Melati
Filem tempatan pertama yang membuka tirai tahun 2017. Dorm Melati, sebuah kisah seram yang dijadualkan untuk tayangan pada 12 Januari ini.


Ikuti trailer filem lakonan Aedy Ashraf sebagai Adam, Nadia Aqilah sebagai Zafirah, Aizat Hassan sebagai Eddy, Syaa Nasir sebagai Carol, Ardell Aryana sebagai Raihana, Julia Marin sebagai Melati, Sabrina Ali sebagai Rose dan Adam Shah sebagai Wanfi yang mengisahkan 5 sahabat baik ingin menyiasat sendiri misteri entiti di dorm Melati yang sering menghantui pengunjung.

(Kredit Gambar: Instagram @tunable_record_sdn_bhd)
2) Spy In Love atau Aku Bukan Spy
Filem yang menemukan pelakon ternama Malaysia seperti Nasha Aziz, Siti Saleha dan Keith Foo dengan pelakon Indonesia, Ray Sahetapy, Hamih Daud dan Shafira Umm in bakal menemui pengunjung pada 19 Januari. 


Filem aksi komedi romantik berkisar kisah percintaan antara Putra dan Pevita dan rancangan perkahwinan mereka di sebuah pulau. Hasrat pasangan ini bukan sahaja ditentang hebat ibu Pevita malah turut tidak dipersetujui oleh Ray yang mengetahui tentang identiti sebenar Pevita.

(Kredit Gambar: Instagram @akuhausdarahmu)
3) Aku Haus Darahmu
Filem seram lakonan Deanna Yusof, Nad Zainal dan Zoey ini mengisahkan seorang ahli antropologi dan dua orang rakannya telah mengembara ke sebuah kawasan pedalaman Malaysia untuk merakam tarian suku. Namun berlaku kejadian aneh dan menyeramkan apabila mereka sampai di sebuah perkampungan kecil yang diuruskan oleh seorang wanita dan pembantunya.


Sementara menantikan filem ini keluar menemui anda pada 2 Februari 2017. Layan trailer di atas dahulu.

(Kredit Gambar: Instagram @astroshaw)
4) Bisik Pada Langit
Filem terbitan Astro Shaw yang telah ditayangkan secara eksklusif di Astro First sebelum menjengah pawagam pada 9 Februari ini mengisahkan pengorbanan seorang bapa dalam memastikan kejayaan anak gadisnya melanjutkan pelajaran ke menara gading tercapai. Namun harapan ini musnah setelah anaknya dimaklumkan terlibat dalam satu kemalangan motosikal di Perth. Berjayakan ayah tua ini menemui anaknya yang koma di perantauan sebelum nafas terakhirnya?


Filem arahan  Kabir Bhatia itu  menampilkan Jalil Hamid, Ummi Nazeera dan Beto Khusyairi selaku tonggak utama. Bisik Pada Langit mengangkat kisah kekeluargaan dengan aspek ketulusan sebuah persahabatan, cinta dan ketentuan takdir yang telah tersurat. Filem ini turut dikuatkan dengan lagu tema berjudul Lygophobia yang dinyanyikan oleh Akim & The Majistret.

(Kredit Gambar: Instagram @soulmatehinggajannah)
5) Soulmate Hingga Jannah
Filem yang menggabungkan artis Malaysia seperti Erra Fazira dan Raja Ilya serta artis Singapura Taufik Batisah bakal memasuki panggung 16 Februari ini. Dengarnya filem ini cukup ‘sweet’ dan  sarat dengan unsur komedi serta cinta. Apatah lagi inilah kali pertama Raja Ilya digandingkan dengan Taufik.
 

Filem ini mengisahkan seorang bos duda lakonan Taufik yang berubah sikap setelah jatuh cinta dengan pembantunya. Apakah yang telah membuatkannya jatuh cinta dan apa pula insiden yang terjadi di antara mereka?

(Kredit Gambar: Instagram @JRevolusi)
6) J Revolusi
Aksi kejar mengejar, tembak menembak dan tumbuk menumbuk antara pihak berkuasa dengan penjahat menjadi intipati utama filem yang mengangkat nama Unit Tindakan Khas Polis (UTK). Zul Ariffin, Izara Aishah dan Nur Fazura  menjadi tunggak utama yang membawakan watak protagonis, dan Farid Kamil sebagai antagonis. 


Dengan bajet sebanyak RM3juta, J Revolusi mengisahkan Jay Zulkarnain yang bertemu dengan lelaki misteri yang pernah memerangkapnya  dalam kes pembunuhan dalam misi menyelamatkan adiknya, Dian, yang diculik. Menariknya, filem yang bakal menemui penonton pada 2 Mac ini turut hadir dengan aplikasi serta permainan berbentuk aksi. Tomok dan Black, dua ikon yang cukup terkenal dalam bidang nyanyian turut menyumbang suara dalam lagu tema filem ini berjudul Rempuh.

(Kredit Gambar: Instagram @filmnightpromo)
7) Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior
Sebuah filem biografi yang menceritakan pengorbanan seorang askar berbangsa Iban dari Rejimen Renjer Diraja dalam Angkatan Tentera Malaysia (1962 - 1983). Kisah keberanian beliau dan platunnya menjejak dan bertempur dengan komunis diabadikan di dalam filem arahan Bade Hj Azmi yang akan menemui penonton Mac 2017.

(Kredit Gambar: Instagram @syamsulyusoffilm)
8) KL Special Force
Satu lagi buat tangan Syafiq Yusof yang kini sedang berdebar-debar menanti reaksi penonton terhadap filem Desolasi yang senang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Filem KL Special Force yang pernah kami laporkan, penuh dengan aksi letupan yang cukup hebat dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor sebagai Roslan yang mengetuai Unit Gerakan Khas, Syamsul Yusof sebagai Asyraff yang membawakan watak ketua Geng Anarkis serta Fattah Amin sebagai pelati baru di bawah Roslan.

(Kredit Gambar: Instagram @zul_arifin)
9) Tombiruo Penunggu Rimba
Ramai yang menantikan filem yang diadaptasi daripada novel tulisan penulis thriller tersohor, Ramlee Awang Murshid. Tombiruo mengisahkan penunggu rimba yang menjadi legenda di hutan keningau. Dia bukanlah hantu tetapi wira tidak berwajah manusia yang berselindung di sebalik topeng bagi menyembunyikan wajah serta kemelut perasaannya. Insiden hutan, rumah tempat tinggalnya diceroboh untuk dibangunkan projek empangan sehingga mengorbankan bapanya Pondoluo menyemarakkan dendam dalam hati pemuda ini yang nekad memburu mereka yang bertanggungjawab. Bermulalah pengembaraan Tombiruo yang membawa kepada satu dunia baru yang mengubah perspektif dan dimensi hidupnya.
(Kredit Gambar: Instagram @klwangan)
10) KL Wangan
Filem KL Wangan mengisahkan perlumbaan kereta pada waktu malam di Kuala Lumpur, menjanjikan pelbagai aksi menarik dan tentunya kenderaan berbeza termasuk Golf R, Golf GTI, Beetle dan Passat. Fokusnya , dua pelumba Hong dan Yudi mempunyai sejarah di arena perlumbaan.








 
 
 
Comments



Back to top