Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Cungkil Bakat Penyanyi Dangdut Menerusi Pertandingan Nyanyian

Juara pertandingan ini akan menerima kontrak rakaman selama dua tahun.

0
comments
Cungkil Bakat Penyanyi Dangdut Menerusi Pertandingan Nyanyian
Sesi uji bakat terbuka secara individu dan peserta bebas memilih apa jua jenis lagu termasuk dari genre lain selain dangdut.
Irama dangdut pernah popular dalam kalangan peminat muzik tempatan suatu ketika dulu. Meskipun, ia lebih dikaitkan dengan persembahan dangdut yang berasal dari negara jiran tetapi genre ini tidak pernah lenyap. Malah, hakikatnya permintaan penonton dan peminat terhadap lagu dangdut berterusan sehingga ia menarik perhatian penganjur untuk mengadakan persembahan pentas.

Jika sebelum ini peminat menggemari dan terpesona menyaksikan persembahan penyanyi dangdut popular seperti Amelina, Sheeda dan Mas Idayu tetapi industri muzik tanah air juga sebenarnya semakin sepi untuk mencari pelapis baru dalam irama dangdut. 

Bagi mereka yang berbakat dalam bidang nyanyian dan mempunyai impian bergelar penyanyi dangdut boleh mencuba nasib menerusi satu pertandingan nyanyian iaitu Pertandingan Karaoke Mencari Raja/Ratu D'Istana. Lebih sekadar platform mencari glamor sebagai penyanyi, penganjur, D'Istana Dugem Club/KTV, On The 6th yang terkenal sebagai sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur dengan kerjasama DBI Entertainment sudah mempunyai perancangan untuk juara dengan menawarkan kontrak rakaman.

Pengarah Urusan On The 6th, Shamsol Marrif berkata, uji bakat ini terbuka secara individu dan peserta bebas memilih apa jua jenis lagu termasuk dari genre lain selain dangdut. Sebanyak tiga saringan sesi uji bakat akan diadakan bermula di Melaka pada 7 Januari 2017 ini diikuti di Kuala Lumpur.

"D'Istana Dugem Club sebenarnya mahu menaikkan kembali irama dangdut termasuk genre muzik lain seperti zapin dan pop yang dicungkil menerusi pelapis dalam pertandingan ini. Seperti mana genre muzik sedia ada, 'dugem' juga semakin mendapat sambutan pengunjung iaitu bermaksud lagu Melayu yang di remix dengan muzik disco," katanya pada majlis pelancaran pertandingan itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, sehingga kini pertandingan ini meraih sambutan positif daripada peserta dan menariknya, juara pertandingan ini bukan saja membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan trofi tetapi kontrak rakaman bersama DBI Entertainment untuk tempoh dua tahun bersama dua single. 

Hadiah tempat kedua pula adalah wang tunai sebanyak RM2,000 manakala RM1,000 untuk pemenang tempat ketiga. Mereka yang berminat untuk turut serta dalam uji bakat ini boleh menghubungi Yanie 0111-2209809 atau Intan (018-6886989).

 
 
 
Comments



Back to top