Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Redha Ditayangkan Di Los Angeles Selepas Terpilih Bertanding Golden Globe Awards

Karya arahan Tunku Mona Riza ini juga bertanding di Oscar.

0
comments
Redha Ditayangkan Di Los Angeles Selepas Terpilih Bertanding Golden Globe Awards
Filem Redha ditayangkan di pawagam The Laemmle Playhouse 7, Los Angeles, Amerika Syarikat bermula dari 9 sehingga 15 Disember ini. (Gambar: FINAS - Facebook)
Seperti dihebahkan sebelum ini, filem Redha arahan Tunku Mona Riza dipilih bertanding ke acara festival filem berprestij dunia, Anugerah Academy Ke-89 yang akan berlangsung pada 26 Februari 2017. Penyertaan filem keempat dari Malaysia ini ke acara anugerah antarabangsa itu dianggap istimewa dan mempunyai potensi menang kerana tema penceritaan yang dibawa iaitu kisah pengorbanan sepasang suami isteri yang membesarkan anak tunggal yang mengidap autism. 

Selain Redha mencuri tumpuan khalayak antarabangsa menerusi penyertaan ke pelbagai acara anugerah, filem ini juga mencatat sejarah tersendiri apabila ditayangkan di pawagam The Laemmle Playhouse 7, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) bermula dari 9 sehingga 15 Disember ini. Filem ini yang diberi judul, Beautiful Pain untuk pasaran dan pengedaran di AS bukan saja tercalon kategori filem Bahasa Asing Terbaik di Oscar tetapi menariknya, ia juga tersenarai bertanding ke Anugerah Golden Globe ke-74.

Lebih mengujakan, filem lakonan hebat, Nam Ron, June Lojong dan Nadiya Nissa selaku pelakon utama, berjaya menyakinkan pihak pengedar antarabangsa, Barking Cow untuk ditayangkan secara rasmi dan komersial di pawagam selama seminggu kepada peminat filem di sana. Ini bermakna, filem ini juga ditayangkan di pawagam yang sama dengan filem Hollywood terbaik pada tahun ini seperti Lion, Moonlight, Manchester by the Sea dan Nocturnal Animals.

Menurut kenyataan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Facebook baru-baru ini, tayangan filem Redha di Los Angeles menjadi aktiviti promosi dan publisiti yang strategik untuk pemasaran filem Malaysia ke peringkat antarabangsa. Difahamkan, Redha juga telah dipertontonkan kepada ahli-ahli Academy of Motion Pictures, Arts & Sciences (AMPAS) dan Hollywood Foreign Press Association (HFPA) sebagai kempen promosi di Anugerah Academy dan Golden Globe nanti.
 
 
 
Comments