Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Azharina Juara Gegar Vaganza Musim Ketiga

Mengalahkan lima peserta hebat lainnya di peringkat akhir.

0
comments
Azharina Juara Gegar Vaganza Musim Ketiga
Azharina diumumkan Juara Gegar Vaganza musim yang ketiga (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

Persembahan yang konsisten saban minggu serta nyanyian penuh jiwa ketika menyampaikan lagu tugasan serta sering mendapat pujian juri ternyata memberi kelebihan buat Azharina Azhar untuk dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ketiga.

Bukan saja memukau dari segi lontaran vokal tetapi hot mama yang berasal dari Sabah ini begitu menitik beratkan soal penampilan dan paling tidak dapat dilupakan adalah mikrofon yang sentiasa dihias dengan pelbagai aksesori membuatkan kemunculan Azharina atau lebih mesra disapa Nina sentiasa dinantikan peminat setianya.

Persembahan pertama Azharina adalah gabungan lagu Nike Ardilla, Izinkanlah dan Mama Aku Ingin Pulang (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

Siapa yang tidak gembira apabila hasil kerja keras selama ini dibayar dengan trofi serta limpahan hadiah mewah lain. Walaupun bukan itu yang dicari ketika memasang niat untuk menyertai program itu namun segala pengorbanan yang dilakukan tetap dijanjikan kegembiraan di hujungnya.

Menyanyikan lagu 'Kesetiaan' daripada Siti Sarah ketika sesi battle (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

"Ketika mula-mula menyertai program ini, niat saya adalah untuk mencari pengalaman, belajar dan menghiburkan peminat dan bukannya mengharapkan kemenangan. Saya mahu jadi seorang penghibur. Malah kalau tanya pasal hadiah pun, saya tak tahu apakah hadiahnya,” kata wanita peramah ini ketika ditemui pada sidang media sejurus selepas konsert final GV3 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu berakhir.

Sebagai juara Azharina membawa pulang pelbagai hadiah lumayan, termasuk wang tunai RM100,000, sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000 dan pakej percutian ke Itali berjumlah RM15,000.

Bersama peminat-peminat yang tidak pernah jemu memberikan sokongan (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

Menyaksikan persembahan keseluruhan peserta, diakui saingan terdekat anak didik kepada komposer dan penyanyi Julfekar ini adalah Siti Sarah, yang juga bffnya. Walaupun prestasi Sarah seperti permainan rollercoaster, namun persembahannya pada malam final, sangat mengagumkan.

Malah, dia dan Azharina turut mendapat standing ovation daripada salah seorang juri jemputan yang diimport dari Indonesia iaitu Hetty Koes Endang. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Sarah apabila dia tewas kepada Azharina dan hanya mampu menduduki tempat naib juara.

Bagaikan deja vu, situasi itu seperti mengimbau kembali peristiwa 15 tahun lalu apabila keduanya bertanding dalam program Bintang RTM 2001. Bercerita lanjut perkara itu, Azharina berkata dia terpaksa memujuk Sarah untuk sama-sama menyertai program berkenaan disebabkan Sarah berkeras untuk tidak mahu menyertainya.

Sebagai Juara Gegar Vaganza, Azharina membawa pulang hadiah serta wang tunai bernilai hampir 220 ribu ringgit (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

“Sarah awal-awal lagi sudah menetapkan syarat, kalau saya masuk program GV, dia tidak mahu menyertainya. Tapi saya pujuk dia dengan menyatakan tujuan menyertai GV bukanlah kerana nak popular atau kejar duit, sebaliknya mahu menimba pengalaman dan juga menghiburkan peminat serta mahu bergembira.

“Sejujurnya, bila kami sama-sama sertai program ini, tekanan itu tetap ada terutama bila kami sama-sama ke peringkat akhir. Walau apapun, dia tetap kawan saya,” jelas pelantun lagu Elegi Sepi ini.

Ketika penyanyi yang suka bergaya ini rancak bercerita mengenai kemenangannya itu, tiba-tiba kolam hatinya terusik terutama apabila soal pengorbanan dibangkitkan.

Nada suara yang ceria terus bertukar menjadi sebak. Menjawab pertanyaan itu, kata Azharina, pengorbanan paling besar yang dilakukannya ketika menyertai GV adalah masa yang cukup terhad untuk bersama anaknya, Rahmat Azharin Aziz yang kini berusia 2 tahun.

“Saya memang tidak pernah berjauhan dengannya. Sebelum ini pun, apabila saya ditawarkan untuk menyertai GV, saya terpaksa tolak kerana Rahmat masih kecil. Pengorbanan nombor satu paling besar adalah masa saya dengan anak saya. Daripada dulu, sekurang-kurangnya sehari saya mesti ada bersamanya. Sekarang ini sampai tahap saya tak berkesempatan untuk berjumpa dengannya.

Bersama Naib Juara, Siti Sarah dan Tempat Ketiga, Zarul (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)

“Kadang-kadang dalam seminggu hanya sekali atau dua kali saja saya dapat bertemu dengannya. Itupun kadang-kadang hanya dapat tengok dia ketika dia sedang tidur. Itu saja cara saya untuk melepaskan perasaan rindu,”luahnya.

Dan menurut Azharina, perasaan rindu dan sedih itu meresap dalam jiwa hingga dia terbawa-bawa gejolak rasa itu di atas pentas.

“Masa saya nyanyi lagu Mama Aku Ingin Aku Pulang, saya terbayangkan anak saya. Saya buat ini semua ini kerana anak saya. Apa-apa saja lagu yang saya dapat, saya cuba menjiwai dengan mengingati anak saya. Saya pernah berkahwin, saya pernah rasa manis, saya pernah rasa sakit. 

“Dua lagu yang saya nyanyikan tadi jelas menggambarkan jalan hidup saya,”katanya yang tidak sabar untuk memeriahkan kembali dunia hiburan.

 
 
Comments



Back to top