Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Besar Sangat Kah ‘Kesalahan’ Nora?

Faham dengan tindakan menukar lagu dangdut kepada lagu rock, tetapi memilih lagu sendiri?

0
comments
Besar Sangat Kah ‘Kesalahan’ Nora?
Nora ketika membuat persembahan di konsert suku akhir (Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)
Sejak pengumuman lagu yang perlu disampaikan untuk konsert separuh akhir Gegar Vaganza musim ketiga ini, masih belum berhenti tentang cerita Nora memilih lagu sendiri. Rentetan pengumuman itu, pihak media mahupun penonton ramai yang bersuara dan mengeluarkan pendapat masing-masing.

Di konsert suku akhir, Nora sudah menukar lagu daripada genre dangdut kepada rock. Ramai juga yang mempersoalkannya. Secara peribadi, saya faham perkara itu.

Dangdut mewajibkan kita menari untuk membuat persembahan. Memang wajib! Kalau tidak bergelek, bukan dangdut namanya. Tanyalah sesiapa saja. Apatah lagi lagu dangdut yang diberi berentak rancak. Sebagai penyanyi yang sudah bertudung, saya faham keperluan Nora menukar lagu. Malah, saya bersetuju dengan penukaran genre pilihan Nora.

(Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)
Kembali kepada pilihan lagu ke separuh akhir. Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, memang pernah berlaku penyanyi memilih lagu sendiri untuk dipersembahkan dalam konsert Gegar Vaganza musim sebelum ini.

Jadi kenapa bila Nora memilih lagu sendiri untuk konsert separuh akhir, ianya menjadi satu ‘kesalahan’ yang sangat besar?

Kerana minggu separuh akhir juga merupakan minggu Pilihan Media. Buat pertama kalinya produksi Gegar Vaganza membuat keputusan untuk mengadakan cabaran Pilihan Media ini.

Minggu separuh akhir memberi laluan kepada peserta memilih lagu yang mahu dinyanyikan secara berduet, tetapi untuk lagu solo, pemilihannya diserahkan kepada pihak media.

(Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)
Maka, berkumpullah pihak-pihak media daripada pelbagai aliran untuk berdiskusi dan berdebat memilih lagu kepada para peserta GV3. Daripada wartawan-wartawan senior, penolong editor sehinggalah kepada editor hiburan mencuri ruang daripada kesibukan seharian untuk memperhebatkan lagi konsert Gegar Vaganza ini.

Setiap peserta diberi pilihan tiga lagu dengan satu daripadanya diletakkan sebagai priority. Kesemuanya diambil kira. Daripada kesesuaian suara, cabaran, bentuk persembahan dan apa jua yang difikirkan perlu oleh pihak produksi yang turut sama dalam sesi pemilihan ini.

Ada juga berlaku perselisihan pendapat dan ‘gaduh-gaduh manja’ tetapi semua lagu yang dicalonkan mesti mendapat pilihan majoriti. Berjam-jam di dalam bilik persidangan kerana cabarannya untuk penyanyi yang sudah ada nama. 

(Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)
Ada juga peserta lain seperti Siti Sarah yang menukar lagu, tetapi kenapa Nora menerima hentaman yang cukup dasyat daripada netizen?

Kemungkinan besar kerana Nora memilih lagu dirinya sendiri, dan ianya berlaku pula di minggu Pilihan Media. Mungkin kalau di konsert mingguan lainnya, tidak ramai yang begitu peduli, tetapi apabila pihak media dituduh netizen memilih lagu Nora sendiri untuknya, maka perlulah pertuduhan tersebut dijawab.
 
Bila sudah terbit di media, makin besarlah ceritanya. Bukan untuk memburukkan Nora mahupun mana-mana artis, tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Cuma sekarang ada segelintir netizen yang keterlaluan memberikan komen. Mengambil kesempatan atas apa yang berlaku, pelbagai tuduhan pula dilemparkan kepada Nora dan suaminya. Segelintir netizen inipun bukannya ada apa-apa, cuma mahu menyakitkan hati.

(Kredit Gambar: Mazlan Yunos Photography)
Khabarnya, Johan Nawawi, suami kepada Nora, mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka. Pendapat saya? Bagus, jangan dibiarkan mereka ini terlepas menyebarkan fitnah dan cerita yang bukan-bukan.

Apa-apa pun yang telah berlaku, diharapkan agar Nora dan peserta-peserta lainnya membuat persembahan terbaik untuk konsert separuh akhir Gegar Vaganza.  Buktikan apa yang anda ingin buktikan!
 
 
Comments



Back to top