Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

"Inilah Hadiah Paling Mahal Sepanjang Tiga Dekad Di Dalam Industri" - Anuar Zain

Bersyukur mendapat peminat yang sentiasa menyokong tanpa mengharapkan balasan.

0
comments
Anuar Zain menunjukkan jam tangan Rolex yang dihadiahkan peminat. (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)
Bertuah sungguh penyanyi kacak yang menjadi idaman ramai, Anuar Zain apabila ada peminat sanggup menghadiahkan seutas jam tangan mewah berjenama Rolex ketika menjayakan acara Exclusive Meet & Greet baru-baru ini. Bukan calang-calang hadiah yang diberikan dan Anuar sendiri ternyata terkejut dengan pemberian peminat.

Kata Anuar,  sejak bergelar penyanyi tiga dekad lalu, inilah kali pertama dia mendapat hadiah yang disifatkannya sebagai paling mahal.

“Memang saya terkejut kerana tak pernah seumur hidup orang hadiahkan barang semahal ini. Saya pula jenis orang yang tak begitu gemar menerima hadiah.

“Walau apapun, saya bersyukur kerana mempunyai peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni tanpa mengharapkan apa-apa balasan,”cerita Anuar kepada Rojak Daily Kaw!

Anuar Zain bersama-sama peminat yang diraikan. (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)
Bukan saja jam tangan, Anuar turut menerima sekotak besar coklat sebagai cenderahati untuknya kerana menjayakan majlis yang dihadiri ramai peminat setianya itu. Paling menyeronokkan apabila peminat yang hadir turut menerima hadiah menarik seperti telefon bimbit, beg tangan, dompet dan pewangi daripada penganjur menerusi sesi kuiz yang dikendalikan pengacara majlis petang itu yang juga penyampai radio Hot FM, Haziq.

Beralih kepada cerita kerjaya seninya, penyanyi bervokal mantap ini memberitahu dia masih mempromosikan album solo kelimanya dan disebabkan itu jadualnya terutama hujung minggu sangat padat. Sebelum ini, Anuar mengunjungi pasar raya Mydin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan juga di Gong Badak, Terengganu semata-mata untuk bertemu peminat.

“Saban minggu, jadual saya dipenuhi dengan acara mempromosikan album ini melalui kerjasama dengan pasar raya Mydin. Destinasi seterusnya adalah Seremban dan juga Johor Bahru. Jika segala-galanya berjalan lancar, saya juga akan mengunjungi lima lagi destinasi pada tahun depan. Pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi,”kata penyanyi berusia 46 tahun ini. 

Melalui sendiri pengalaman membuat promosi di pasar raya, Anuar mengakui banyak manfaat yang didapati. Antaranya, mendapat maklum balas mengenai produk yang dihasilkan daripada peminat.

Anuar Zain mempersembahkan empat lagu kepada peminat-peminat bertuah yang hadir. (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)
“Sebagai penyanyi, kita tak perlu malu mengunjungi pusat beli-belah mempromosikan album. Ini kerana kita boleh bertemu peminat sambil mendengar maklum balas dan komen mereka mengenai produk kita

“Selain itu timbul perasaan seronok dan terharu dapat berjumpa peminat yang mengucapkan terima kasih kerana sudi turun padang untuk beramah mesra dengan mereka,”ujar adik kepada penyanyi Ziana Zain ini.
Berkongsi kegembiraan, Anuar turut memberitahu album solo kelimanya itu sudah terjual lebih 11,000 unit selepas lebih sebulan dipasarkan.

Dalam tempoh lebih sebulan ditayangkan, klip video single pertama Anuar daripada album terkini, Andainya Takdir, sudah pun ditonton 2 juta kali di laman YouTube. Anuar merancang untuk menghasilkan video muzik single kedua pula selepas ini.

120 orang peminat terpilih menghadiri acara Exclusive Meet & Greet bersama Anuar Zain. (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr.)
Menurut Anuar lagi, pihaknya menyerahkan kepada penggemar setianya untuk memilih lagu yang sesuai untuk dijadikan single seterusnya.

“Peraduan ini dibuat secara digital, khusus untuk mereka yang memuat turun lagu di Spotify, Joox Music dan iTunes. Mereka boleh memilih lagu yang sesuai dan menyertakan ‘story board’ untuk dijadikan video muzik. Beberapa pemenang bertuah akan berpeluang muncul sebagai bintang undangan khas dalam klip video itu nanti.

“Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari http://player.lemonadebox.com/anuarzain. Peraduan ini sudah pun dibuka dua minggu lalu dan akan ditutup pada minggu pertama Disember kerana kami ingin menghasilkan video muzik itu secepat mungkin,” kata Anuar lagi.

Pada majlis itu, seramai 120 peminat bertuah berpeluang beramah-mesra dengan penyanyi bervokal mantap ini selain memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi kuiz yang disediakan. Anuar turut menghiburkan mereka dengan empat lagu termasuk Andainya Takdir dan Belahan Hati.
 
 
Comments



Back to top