Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

"Saya Hanya Mampu Minta Maaf Dengan Apa Yang Berlaku" - Syamel

Mahu 'Lebih Sempurna' menyaingi 'Hidup Dalam Mati'

0
comments
Menaruh harapan penuh pada 'Lebih Sempurna (Kredit Gambar: Instagram Syamel @syamel_official)
Ketepikan seketika soal ciplak yang membelenggu dirinya sejak kebelakangan ini kerana ada perkara lain yang perlu diberi perhatian apabila bercakap mengenai penyanyi kelahiran Akademi Fantasia ini. Walaupun sedikit sebanyak isu itu memberi tamparan hebat dalam dirinya namun Syamel tidak pernah patah semangat dan putus asa.

Sebaliknya, jejaka berkulit hitam manis ini mahu terus menumpukan perhatian terhadap kerjaya seninya yang semakin berkembang. Selepas meletup dengan lagu 'Hidup Dalam Mati' yang sekali gus memberikan pengalaman pahit dan manis dalam karier nyanyiannya, pemilik nama penuh Syameel Aqmal Mohd Fodzly mahu move on apabila muncul dengan single kedua berjudul 'Lebih Sempurna'. 

Lagu ciptaan kolaborasi antara Syamel, Edry Abd Halim dan Boy Anaz itu sudah pun disiarkan di laman YouTube dan juga di corong radio. Tatkala bercerita mengenai kemunculan lagu itu, nada suara Syamel kedengaran cukup teruja. Barangkali dia mengharapkan lagu itu dapat menyaingi kehebatan lagu 'Hidup Dalam Mati' ataupun mencipta populariti setara dengan lagu melankolik itu.

Mengharapkan sokongan peminat terhadap lagu Lebih Sempurna. (Kredit Gambar: Instagram Syamel @syamel_official)
Kata Syamel, selepas setahun, 'Lebih Sempurna' dapat menjawab tanda-tanya peminat terhadap kesudahan kepada lagu 'Hidup Dalam Mati'.

“Orang ramai bertanya, sampai bila saya mahu bergantung dengan lagu 'Hidup Dalam Mati'? Berikutan itu saya tampil dengan single terbaharu berjudul 'Lebih Sempurna'.
 
“Lagu ini ialah kesinambungan kepada single pertama Syamel. Jika sebelum ini peminat lagu terbabit tidak tahu apa kesudahan kepada kisah yang dipaparkan dalam single pertama, menerusi 'Lebih Sempurna' mereka akan tahu kenapa saya ditinggalkan,”katanya dalam satu temubual bersama Rojak Daily Kaw!.

Diusik dengan pertanyaan apakah lagu ini juga ada kaitan dengan kisah silamnya seperti single pertamanya dulu, Syamel mengakui sedikit sebanyak ia memang ada kaitan dengan cerita masa lalu.

“Bagaimanapun, ia juga kaitan dengan pengalaman mereka yang berada di sekeliling saya. Cerita saya dan mereka digabungkan lantas terhasillah 'Lebih Sempurna',” ujar anak jati Kuala Lumpur ini.

Jika ada yang perasan, dua buah lagu Syamel kesemuanya berentak balada dan sekali gus membuatkan ramai yang menganggap pemenang naib juara Akademi Fantasia 2015 ini adalah seorang yang jiwang.  Adakah kerana jiwanya yang mudah tersentuh membuatkan Syamel lebih selesa menyanyikan lagu berentak sebegitu berbanding lagu rancak?

Menjawab pertanyaan itu, penyanyi bervokal serak-serak basah ini berkata lagu rancak akan menyusul selepas ini.

“Saya mempunyai cita-cita yang besar iaitu mahu mengadakan konsert. Untuk menganjurkan konsert, sudah tentu saya memerlukan lagu yang mempunyai pelbagai genre. Insya-Allah, next single saya akan hasilkan lagu rancak,”janjinya.

Hanya mampu memohon maaf kepada para peminat yang mengharapkan lagu 'Hidup Dalam Mati' dipertandingkan. (Kredit Gambar: Instagram Syamel @syamel_official)
Minggu lalu, sepatutnya Syamel bertanding dalam peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 31. Bagaimanapun, kelibatnya tidak muncul dan difahamkan perkara itu berlaku kerana pemegang hak cipta lagu itu menarik balik penyertaan di saat akhir. Ekoran daripada insiden itu, ramai yang melahirkan perasaan kecewa dan tidak puas hati terutama peminat penyanyi ini.

Ibarat pepatah berat mata memandang, berat lagi memikul, Syamel hanya mampu meminta maaf atas apa yang berlaku.
 
“Buat masa ini, jawapan terbaik yang saya boleh bagi adalah saya minta maaf pada semua pihak yang betul-betul letak harapan yang tinggi pada lagu 'Hidup Dalam Mati'. Minta maaf kerana saya tak dapat nak buat persembahan atas alasan apa yang berlaku sekarang ini. Itu saja komen yang saya boleh berikan. Minta maaf sangat-sangat,” katanya.
 
 
Comments



Back to top