Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Fazura Semakin Melebarkan Sayap di Indonesia

Terima segala kritikan baik positif atau negatif untuk perbaiki diri.

0
comments
Fazura Semakin Melebarkan Sayap di Indonesia
Fazura semakin melebarkan sayapnya ke Indonesia (Kredit Gambar: Instagram Fazura @missfazura)
Sejak membintangi filem 'Bulan Terbelah Di Langit Amerika' dan merakamkan lagu runut bunyi filem itu, diakui rezeki si gorgeous dan fazbulous, Nur Fazura Sharifuddin atau lebih mesra disapa Faz cukup murah di sana. Mana tidaknya, kalau melihat laman sosial milik pelakon jelita ini, Jakarta bagaikan rumah keduanya.

Kalau bukan di tanah air sendiri, kelibat Fazura pasti akan kelihatan berada di negara Garuda itu sama ada untuk menghadiri majlis ataupun menjalani penggambaran filem. Selepas filem Bulan Terbelah Di Langit Amerika, Fazura sekali lagi dilihat menjadi pilihan sutradara di sana menerusi filem Warkop DKI Reborn.

Fazura di majlis pelancaran filem terbarunya di Indonesia. (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr)
Dan khabarnya filem komedi itu mendapat sambutan yang sangat hebat sekali gus meledakkan lagi nama Fazura di sana. Ternyata bakat yang ada padanya ditambah kecantikan semula jadi yang dimilikinya itu membuatkan pemegang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 ini terus menjadi rebutan produser untuk menawarkannya berlakon.

Terbaru, pelakon berusia 33 tahun ini dilihat menghadiri majlis pelancaran sebuah filem berjudul Rafathar. Turut kelihatan bersama dengannya adalah pelakon terkenal yang pernah membintangi filem Heart iaitu Raffi Ahmad. Ini bermakna, Rafathar adalah filem ketiga Fazura di negara itu.

Fazura sedang mengikuti sesi script reading. (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr)
“Sebelum ini ramai yang beranggapan industri di sana sukar untuk menerima kehadiran pelakon Malaysia dan ternyata ia tidaklah seperti yang disangka. Alhamdulillah rezeki saya cukup murah di Indonesia. Hampir setiap dua bulan saya akan terbang ke sana bagi memenuhi tuntutan kerjaya seni.

“Sekarang ini saya sedang sibuk dengan pra-produksi filem Rafathar iaitu dalam peringkat script reading. Dalam filem ini saya memegang watak sebagai Mila iaitu ibu kepada Rafathar. Filem ini adalah sebuah filem keluarga dan ia mengisahkan seorang bayi yang mempunyai kuasa superpowers,’katanya ketika dihubungi Rojak Daily Kaw!

Fazura bersama Ahmad Dhani dan Mulan Jameela. (Kredit Gambar: Instagram Fazura @missfazura)
Bukan saja berjaya melebarkan sayapnya dalam bidang perfileman tetapi Fazura juga berjaya menawan hati seorang komposer terkenal di sana. Aha! Jangan cepat membuat andaian. Maksud menawan hati itu bukanlah bermakna Fazura ingin bermain cinta dengan lelaki terbabit tetapi komposer berkenaan iaitu Ahmad Dhani ingin menghasilkan lagu untuknya.

“Sudah tentu saya terkejut apabila komposer sehebat Ahmad Dhani sudi untuk menyumbangkan lagu dalam album saya nanti. Bukan mudah untuk dapat peluang sebegini dan saya anggap semua itu adalah rezeki. Selain Ahmad Dhani, komposer lain yang akan memberikan lagu adalah Estranged dan Omar K,”katanya.

Bagi mereka yang berfikiran skeptikal, pasti akan menyangka kesudian itu disebabkan pengurus Fazura iaitu Iman Tang  mempunyai hubungan baik dengan komposer berkenaan Seakan dapat meneka tanggapan sebegitu akan dilemparkan terhadapnya, Fazura menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

“Saya akui mereka berdua berkawan baik tetapi persetujuan untuk menyumbangkan lagu itu adalah atas kehendak Ahmad Dhani dan bukan disebabkan kronisme,” tegas pelakon yang mula dikenali menerusi filem Bicara Hati.
Fazura bersama Kumpulan Estranged. (Kredit Gambar: Instagram Fazura @missfazura)
Baru-baru ini, buat pertama kalinya Fazura menaiki pentas separuh akhir Muzik-Muzik 31 apabila lagu nyanyiannya bersama kumpulan Estranged berjaya tersenarai ke peringkat itu. Satu pencapaian yang cukup hebat buat penyanyi amatur sepertinya. Iyalah, kalau nak dibandingkan pengalamannya dalam bidang seni suara, Fazura boleh dianggap masih hijau.

Namun sudah tertulis rezekinya dan lagu berjudul Hancur Aku itu turut sama bersaing bersama 29 buah lagu lain untuk melayakkan di ke malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-31 yang bakal diadakan Januari depan. Seperti biasa, persembahan Fazura dalam peringkat saringan itu mendapat pelbagai komen termasuk komen negatif. Pun begitu, komen seperti itu tidak sedikit pun memberi kudis buatnya.

“Apa saja komen yang diberikan, negatif atau positif, saya terima semuanya. Pengalaman yang saya timba ini membantu saya untuk mempersiapkan diri jika ada album nanti. Saya memang mengharapkan 'Hancur Aku' layak ke final kerana sambutan terhadap lagu itu sangat dahsyat. Di YouTube, muzik video lagu itu sudah ditonton sebanyak 10 juta orang,” katanya sambil mengakui gugup kali pertama beraksi dalam pertandingan seperti itu.
 
 
Comments



Back to top