Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Tunggu Benih Jadi Bunga Selepas Kontrak KP FINAS Berakhir

Datuk Kamil Othman masih berminat menyambung tugas ketua pengarah FINAS jika diberi peluang.

0
comments
Tunggu Benih Jadi Bunga Selepas Kontrak KP FINAS Berakhir
Datuk Kamil Othman berjumpa kakitangannya pada hari terakhir kontraknya di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Klang, Selangor, semalam. (Gambar: FINAS - Facebook)
Tempoh 2 tahun memegang tampuk kepimpinan sebuah organisasi besar seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) umpama sesi menyemai benih tanpa sempat melihat bunganya berkembang. Habis saja dua tahun, pengganti jawatan Ketua Pengarah (KP) FINAS kembali menjadi persoalan warga industri siapa pula yang layak dan berpengalaman untuk terus menerajui agensi perfileman tanah air itu.

Betapa pentingnya FINAS pada masa depan industri perfileman dan hiburan tempatan kerana di sinilah penggiat seni mendapat kelulusan lesen untuk sebarang penggambaran filem, telefilem, dokumentari dan sebagainya termasuk memohon geran yang ditawarkan kerajaan dalam usaha membantu penggiat seni terus aktif bekarya.

Namun, dengan pelbagai masalah dalaman membabitkan isu pekerja filem dari aspek kebajikan, penganjuran Festival Filem Malaysia pada setiap tahun yang penuh kontroversi dan kejutan pemenang serta persengketaan antara persatuan hiburan membuatkan FINAS masih relevan untuk menjalankan peranannya menyelia penggiat seni dan industri sendiri.

Pejam celik, pejam celik, semalam menjadi detik terakhir Datuk Kamil Othman mengucapkan selamat tinggal pada majikannya itu selepas tugasnya sebagai KP sudah berakhir. Apa ucapan akhir Kamil sebelum melangkah keluar pejabatnya bukan perkara 'pokok' yang penggiat seni mahu tahu tetapi persoalannya yang sering bermain di fikiran mereka adalah apa jasa Kamil pada FINAS dalam tempoh 2 tahun? (Baca lagi: [Eksklusif] Bawa Metadologi Animasi Kepada Filem: KP FINAS Capai Lima Kejayaan Penting)

Menerusi satu kenyataan, Kamil menyatakan dia mengucapkan penghargaan pada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bersama kepimpinan di kementerian itu, pegawai FINAS, presiden dan ahli persatuan, media, karyawan industri dan pencinta filem secara langsung dan tidak langsung yang mendukung kepada aspirasi dan strateginya sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Alhamdulillah, benih telah saya semaikan, semoga setiap perancangan, strategi, dasar, pelaburan, halatuju, mekanisme dan aspirasi dalam tempoh dua tahun sebagai Ketua Pengarah FINAS selama ini akan terus membunga ke arah kejayaan dan terus didukung bagi pembangunan industri yang lebih mampan dan berkualiti," katanya dalam mesej yang dihantar menerusi WhatsApp.

Kamil memperkenalkan program Tanya KP yang diadakan di Content Malaysia Pitching Centre, KL Sentral sebagai platform berinteraksi dengan penggiat seni dan orang ramai secara terbuka. (Gambar: FINAS)
 
Tambahnya, beliau optimis terhadap pelaburan dan strategi yang dimanifestasikan dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk industri kreatif sebagai penyumbang kepada ekonomi negara. Baginya, aspek strategi pembangunan kandungan, skrip, dana, infrastruktur, teknologi, pemasaran, eksport global, modal insan, generasi muda, akreditasi dan peningkatan profesionalisme karyawan, kesedaran sinema, sinergi industri, pelesenan, film desk, kualiti kandungan, penyampaian sistem dan penjenamaan FINAS di peringkat antarabangsa menjadi elemen transformasi jangka pendek dan jangka panjang di masa hadapan yang perlu terus diperkasakan.

“Saya bersedia untuk terus menyumbang dan berkongsi pengalaman dan ilmu kepada industri di dalam dan luar negara dan pastinya akan terus mencintai industri filem dan kreatif ini sehingga ke akhir hayat saya,” katanya.

Dalam temubual eksklusif Rojak Daily Kaw! bersama Kamil sebelum ini, beliau berkongsi kisahnya dalam memajukan filem tempatan dari aspek pembangunan skrip di peringkat prapoduksi sebelum geran diberikan menerusi Content Malaysia Pitching Centre (CMPC) sambil menjelaskan sikap sebenar produser tempatan. (Baca lagi: [Eksklusif] Produser Filem Tempatan Bukan Profesional, Hanya 'Jaguh Kampung')

Dalam pertemuan itu, Kamil menyatakan dia memang 'jatuh cinta' terhadap industri perfileman dan masih berminat menerajui FINAS sekiranya diberi peluang lagi. Secara amnya, ramai dalam kalangan penggiat seni masih menyokong Kamil dan mahu melihat perubahan terhadap industri perfileman diteruskan dibawah kepimpinannya.

Jika pucuk pimpinan nombor satu ini berubah berkemungkinan besar 'benih' yang disemai selama dua tahun ini akan dibuang begitu saja atau dibiarkan mati. Namun, apa-apa pun keputusan terletak pada peringkat kementerian dalam menentukan siapa yang layak. Kita tunggu dan lihat.
 
 
Comments



Back to top