Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

[Eksklusif] Bawa Metadologi Animasi Kepada Filem: KP FINAS Capai Lima Kejayaan Penting

Datuk Kamil Othman menjadikan Content Malaysia Pitching Centre sebagai pusat setempat penggiat seni.

0
comments
[Eksklusif] Bawa Metadologi Animasi Kepada Filem: KP FINAS Capai Lima Kejayaan Penting
Datuk Kamil Othman memulakan langkah dengan menaikkan jenama FINAS. (Gambar: Content Malaysia Pitching Centre - Facebook)
Tempoh dua tahun menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sememangnya memberi cabaran besar pada Datuk Kamil Othman memahami peranan agensi itu dalam membangunkan industri perfileman tanah air.

Persepsi khalayak terhadap KP berbeza daripada penggiat seni sendiri melihat orang nombor satu agensi perfilemen ini perlu lebih peka dan mendengar segala luahan mereka yang bekerja dalam industri ini. Kamil mengakui beliau diberi kepercayaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika itu selepas menunjukkan rekod cemerlangnya ketika bersama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC).

"Kejayaan bersama MDEC dengan industri animasi mempunyai kaitan teknologi. Pendek kata kita melihat sesuatu industri itu diwujudkan berdasarkan bukan saja teknologi tetapi kreativiti.

"Kita mengambil masa selama 14 tahun di MDEC untuk melahirkan syarikat animasi dan visual efek ternama sekarang ini berbanding dulu mereka juga usahawan biasa yang baru menjejak langkah pertama dalam industri. Jadi, Menteri (Ahmad Shabery) meminta saya masuk ke FINAS melihat metadologi sama dimasukkan ke dalam filem sebab industri filem sudah lama wujud dan ia berbeza dengan animasi yang masih baru kerana perkembangan teknologi," katanya dalam temubual eksklusif bersama Rojak Daily Kaw! di Content Malaysia Pitching Centre (CMPC), KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, FINAS mempunyai banyak bidang kuasa di bawah Akta FINAS 1981 iaitu kerajaan sejak dari dulu memberi kuasa untuk membangunkan industri perfileman negara tetapi dalam pelaksanaan pula, pembangunan industri tidak diambil keutamaan.

"Pertama sekali, saya menaikkan jenama FINAS itu kembali. Pada saya FINAS tidak patut dilihat sebagai agensi kerajaan yang berurusan dengan industri yang tiada makna. Kebanyakkan orang melihat hiburan itu adalah industri tiada nilai sangat kecuali pergi bergembira tengok wayang dan habis begitu saja.

"Jika kita tengok negara lain, ekonomi mereka kadang-kadang bergantung pada industri kreatif. Filem sebagai satu cabang daripada industri kreatif sama seperti muzik. Begitu juga, saya menukar laman sesawang FINAS kepada bahasa Inggeris agar ia juga dapat dirujuk masyarakat luar negara," katanya.


Content Malaysia Pitching Centre memberi kemudahan auditorium pada kelab filem atau sesiapa saja yang mahu menayangkan filem seni atau mengadakan acara seperti apresiasi filem, 'masterclass' dan pembikinan kandungan. (Gambar: Content Malaysia Pitching Centre - Facebook)

Tambahnya, perkara kedua yang dilakukannya adalah menjadikan FINAS lebih terbuka kepada penggiat seni. Beliau mengakui suatu ketika dulu, beliau juga salah seorang yang mengkritik FINAS.

"Penggiat seni mengkritik apabila mereka susah hendak nak jumpa saya di FINAS. Malah, tiada analisis dan statistik mengenai filem sehingga saya mula mengadakan program Tanya FINAS iaitu membuka ruang pada penggiat seni bertanya apa saja termasuk soal dana.

"Nyata, dari situ kurang kritikan lagi isu tersebut dilemparkan. Saya mengaku masih ada yang belum dapat berjumpa tetapi itu atas faktor lain. Secara amnya, FINAS terbuka jika tidak dapat berjumpa saya di FINAS, boleh saja di Content Malaysia Pitching Centre.

Jelasnya, CMPC adalah inisitaif kementerian pada masa itu berfungsi memusatkan dana kerajaan. Akuinya, dana yang diwujudkan FINAS sebelum ini 'bersepah' sehingga tidak dapat diberikan fokus sehingga semua dana itu berpusat di CMPC.

"CMPC ini menjadi pertemuan pembikin filem baru dan lama serta FINAS menambah satu nilai pada pusat industri kreatif ini iaitu sesi kaunseling. Dulu kita bagi dana, kita cuci tangan saja dan produser itu pergi.

"Namun, untuk produser khusus generasi Y bawah usia 35 tahun, kita duduk sini berbincang. Keempat berkait dengan pusat ini juga, kita membuka auditorium pada kelab filem atau sesiapa saja yang mahu menayangkan filem seni atau mengadakan acara seperti apresiasi filem, 'masterclass' dan pembikinan kandungan.

"Kelima, FINAS membuka pemilihan filem ke festival filem luar negara. Dulu kita buat tapi sekarang lebih fokus dan ini sebenarnya ada kaitan apabila saya dilantik sebagai Naib Presiden Asian Film Commissions Network (AFCNet) membabitkan 19 negara anggota.

"Saya bersyukur apabila negara seperti China menyokong Malaysia yang pada mereka nampak komitmen kerajaan dalam industri filem ini," katanya.


 
 
 
Comments



Back to top