Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Sejarah Pembikinan Hanyut Jadikan Penonton Lebih Teruja

Pengarah U-Wei Saari menyifatkan filemnya kali ini amat istimewa dan berbaloi ditonton.

0
comments
Sejarah Pembikinan Hanyut Jadikan Penonton Lebih Teruja
Hanyut mengangkat karya penulis terkenal, Joseph Conrad menerusi novelnya, Almayer's Folly pada 1895 menggambarkan semula kisah pedagang Inggeris, Almayer yang singgah di negara ini pada kurun ke-19. (Gambar: sonsation)
Lebih 12 tahun lalu, filem Puteri Gunung Ledang pernah mencatat sejarah perfileman negara kerana ia membelanjakan kos produksi tinggi melebihi RM15 juta. Malah, sebuah lagi filem tempatan The Chini Saga yang masih dalam penggambaran ketika ini lebih gempak apabila mendapat dana sebanyak RM25 juta.

Di sebalik kisah dua filem tersebut, penonton menantikan naskhah pengarah terkenal, U-Wei Saari iaitu Hanyut yang masih menantikan tayangan di negara sendiri pada 24 November depan.

Hanyut mengangkat karya penulis terkenal, Joseph Conrad menerusi novelnya, Almayer's Folly pada 1895 mahu menggambarkan semula kisah pedagang Inggeris, Almayer yang singgah di negara ini pada kurun ke-19. Filem ini yang menjalani penggambaran pada tahun 2010 diarahkan U-Wei selepas tempoh enam tahun menghasilkan filem Buai Laju-Laju manakala skrip Hanyut dihasilkannya 10 tahun sebelum itu.


Memberi tarikan dan keterujaan pada penonton, filem ini membelanjakan kos produksi tinggi sebanyak RM18 juta. Malah, di awal penggambaran filem ini yang dijalankan di Kuala Lipis, Pahang, ia menarik perhatian Tan Sri Dr Rais Yatim ketika itu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan turun padang memberi sokongan. 

Filem ini diperkuatkan dengan barisan pelakon berpengalaman seperti Khalid Salleh, Sofia Jane, Diana Danielle dan Adi Putra termasuk dua aktor Indonesia, Allahyarham Alex Komang dan El Manik serta Peter O'Brien dari Australia.


Sebelum tayangan di sini, Hanyut terlebih dulu menjelajah ke luar negara menerusi penyertaan di festival filem antarabangsa seperti Festival Filem Asia Tenggara di Singapura, Festival Filem Asia di Canberra, Festival Filem Asia Jogja-Netpac ke-8, Five Flavours Festival ke-7 di Warsaw Poland dan Anugerah Skrin Asia Pasifik di Brisbane, Australia.

Meskipun ia ditayangkan terlebih dahulu di pawagam Indonesia dengan judul Gunung Emas Almayer, dua tahun lalu, filem ini dijangka masih mempunyai tarikan pada penonton tempatan untuk ke pawagam dari aspek plot, barisan pelakon dan sejarah yang berlaku sepanjang pembikinan filem ini.

Semalam juga menyaksikan filem ini memasang poster gergasi berukuran 100 kaki di bangunan Cahaya Suria, Kuala Lumpur sebagai aktiviti promosi. U-Wei dalam laporan Utusan Online menyatakan filemnya kali ini amat istimewa dan berbaloi ditonton. Malah, dia mengetahui ramai penonton tidak sabar menonton filem ini dipawagam sejak 'trailer' dipertontonkan.


 
 
 
Comments



Back to top