Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Anuar Zain Kongsi 'Rahsia' Bertahan Selama Tiga Dekad

Penyanyi popular ini mengakui sokongan media sangat penting.

0
comments
Anuar Zain Kongsi 'Rahsia' Bertahan Selama Tiga Dekad
Anuar Zain percaya artis dan media menjadi kumpulan yang memberi informasi dan membantu menaikkan minda masyarakat. (Gambar: Anuar Zain Network - Facebook)
Ketika ini, lagu Anuar Zain, Andainya Takdir menarik perhatian khalayak apatah lagi dalam klip video lagu itu menampilkan penyanyi itu sendiri melakonkan watak sebagai nelayan bersama seorang anak yang mengalami kesedihan selepas ditinggalkan isteri.

Di sebalik populariti lagu itu yang semakin dimainkan di radio, Anuar berkongsi 'rahsia' kekal sebagai artis sepertinya yang bertahan dalam industri muzik sejak berkecimpung pada tahun 1983.

Jelasnya, kemahuan dan disiplin yang tinggi dalam diri sangat penting termasuk melakukan hasil terbaik dalam karya seperti kualiti menerbitkan album.

"Album pertama memperkenalkan diri pada pendengar sangat penting. Disiplin dan merendah diri dengan orang sekeliling boleh membawa artis itu ke tahap lebih tinggi," katanya dalam program Ruang Bicara bersama Datuk Dahlan Maamor di Bernama TV, malam tadi.

Tambahnya, artis juga perlu mempunyai hubungan baik dengan rakan media seperti sahabat yang saling bekerjasama antara satu sama lain yang menguntungkan kedua pihak.

Ditanya seorang lagi panel jemputan, Pengarang Rencana Metro Ahad, Adam Salleh mengenai pandangan senario artis yang bersikap 'besar kepala' mempromosi diri sendiri dalam media sosial tanpa sokongan media, Anuar menjawab peranan media dalam membantu kerjaya artis masih diperlukan.

"Bukan wartawan, kita tidak tahu etika penulisan dan bahasa yang digunakan. Begitu juga dalam media sosial, jika tidak arif tentang penulisan ia mungkin jadi 'backfire' pada artis itu sendiri.

"Seharusnya bekerjasama dengan cetak, elektronik dan media sosial. Media ada profesional kerana mereka mempunyai 'values' untuk menwar-warkan pasal artis. Bukan semua orang tengok media sosial artis atau pendedahan setakat 'followers'.

"Kalau kita dedahkan diri bersahabat dengan media profesional, ia membantu artis ke peringkat lebih tinggi. Bukan mahu berseronok dalam industri tetapi menjadi kumpulan yang memberi informasi dan membantu menaikkan minda masyarakat. Jadi, kita perlukan satu sama lain kerana penulisan profesional datang daripada media sendiri manakala penulisan 'fun' daripada artis," katanya.




 
 
 
Comments



Back to top