Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Giliran Redha Ke Oscar

Filem itu akan bertanding dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

0
comments
Giliran Redha Ke Oscar
Pemilihan filem Redha ke Oscar dilakukan FINAS menerusi Jawatankuasa Festival Filem Antarabangsa. (Gambar: FINAS - Facebook)
Filem yang membawa kisah pengorbanan sepasang suami isteri membesarkan anak tunggal mengidap autism sekali lagi mencuri perhatian khalayak apabila dipilih bertanding pada acara anugerah berprestij, Academy Awards.

Karya tersebut iaitu filem Redha arahan Tunku Mona Riza mencatat satu lagi pencapaian bermakna mewakili negara dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik. Pemilihan filem terbitan Current Pictures Sdn Bhd itu dilakukan secara rasmi oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Jawatankuasa Festival Filem Antarabangsa.

Menerusi maklumat di Facebook FINAS menyatakan acara anugerah Oscar ke-89 itu akan berlangsung pada 26 Februari 2017. Mengikut rekod, Malaysia pernah menghantar penyertaan sama ke acara itu sebelum ini menerusi filem Puteri Gunung Ledang pada tahun 2005, Bunohan (2013) dan Lelaki Harapan Dunia (2015).

Redha dibintangi Nam Ron, June Lojong, Nadiya Nissa, Remy Ishak, Ruminah Sidek, Susan Lankester dan pelakon kanak-kanak iaitu Harith Haziq dan Izzy Reef pernah meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Perdana Antarabangsa 2016 di Manila, Filipina.

Filem ini juga sebelum ini cemerlang dengan Anugerah Merit di Awareness Film Festival (LAAFF2016) dan tiga anugerah pada Festival Filem Muslim Antarabangsa Kazan ke-12 menerusi Anugerah Khas Pencalonan oleh Presiden Republik Tatarstan untuk Kemanusiaan dalam Sinematografi, Anugerah Khas 'The Russian Guild Of Cinema Critics' serta Aktor Terbaik Filem Cereka untuk Nam Ron, Harith Haziq and Izzy Zulkhazreef.

Menariknya, Redha akan mewakili negara ke Minggu Filem Asia Casa ke-4 di Barcelona dan Anugerah Skrin Asia Pasifik ke-10 di Brisbane, Australia pada November nanti.





 
 
 
Comments



Back to top