Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

KL Wangan Bakal 'Meletup' Di Pawagam

Pelakon Faizal Hussein mempunyai rasa filem barunya kali ini mempunyai potensi.

0
comments
KL Wangan Bakal 'Meletup' Di Pawagam
Faizal Hussein beraksi sebagai pelakon utama filem KL Wangan yang melakukan aksi lagak ngeri sendiri. (Gambar: Rojak Daily Kaw)
Hanya bergantung pada adegan aksi seperti perlumbaan kereta sehingga berlaku letupan bukan jaminan sebuah filem itu mampu menarik perhatian penonton ke pawagam. Justeru, apakah faktor utama yang menjadikan filem aksi itu boleh 'jual' pada masa kini?

Bagi pelakon terkenal, Faizal Hussein berpandangan gaya persembahan atau penyampaian sesebuah cerita itu sangat penting dalam menimbulkan minat pada penonton berhibur. Plot hanya jalan cerita yang ringkas tetapi apa yang paling mencabar adalah menterjemahkannya sebagai karya yang menarik.

"Memang diikutkan filem KL Wangan tiada 'story'. Ia sama seperti filem Hollywood yang tidak terlalu lebih pada cerita tetapi apa yang lebih penting adalah persembahannya," katanya ketika ditemui di set penggambaran filem terbarunya, KL Wangan di Kuala Lumpur, malam tadi.

Jelasnya, filem arahan Pekin Ibrahim ini mempunyai kekuatan dari aspek penyampaian yang lebih jelas dari aspek aksi perlumbaan kereta pada waktu malam yang ingin ditonjolkan.

"Pekin menunjukkan setiap perlumbaan kereta ini dengan jelas seperti persediaan mereka yang mahu berlumba dan apa yang dipaparkan adalah dunia sebenar dalam sukan pemotoran ini," katanya.


Kereta Nissan Skyline diangkat menggunakan kren ketika adegan aksi dilakukan di hadapan bangunan Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur, malam tadi. (Gambar: klwangan - Instagram)

Sebagai pelakon senior dan banyak pengalaman, Faizal secara peribadi mengakui dia mempunyai 'rasa' filem ini mempunyai potensi untuk sukses dari aspek sambutan kelak.

"Sebagai pelakon boleh rasa sesebuah filem yang dilakonkannya mampu hit dan filem ini dari peringkat awal saya dapat rasakannya. Menariknya, setiap adegan perlumbaan yang mempunyai jenis kereta berbeza mempunyai ramai pengikut yang menjadikan filem ini 'viral'.

"Filem ini pastinya ditunggu ramai peminat sukan pemotoran dan perlumbaan termasuk peminat saya yang menantikan aksi saya dari motosikal kepada kereta. Saya berharap peminat tidak melepaskan peluang menonton filem ini nanti," katanya.

Tambahnya, dia sukar berpuas hati dengan apa yang dilakonkan. Namun, dia selesa bekerjasama dengan Pekin sejak berlakon bersama menerusi filem Bunohan, apabila pengarah itu terbuka untuk berbincang adegan yang mahu dilakonkannya.  

"Pekin membuat skrip filem ini kerana dia sendiri terbabit dalam dunia pemotoran ini. Apa yang dia buat tiada pengarah lain yang membuatnya secara terperinci," katanya.


Adegan kereta meletup membabitkan jentera Nissan Skyline. (Gambar: klwangan - Instagram)

Faizal berkata, adegan paling menarik dalam filem ini adalah membabitkan lima perlumbaan kereta jenis Kancil, Honda, Subaru, Nissan Skyline, Volkswagen Golf dan aksi kereta polis mengejar kereta Nissan Skyline yang dipandunya selepas dilarikan dari garaj.

Berkongsi cerita di set penggambaran, salah seorang kru produksi iaitu Muhammad Firdaus Maulana Mohamed atau Maulana menyifatkan pengalaman pertama kali menjadi 'soundman' filem ini cukup mengujakannya.

"Sebanyak 80 peratus bunyi dalam filem ini bergantung pada bunyi secara langsung di set penggambaran. Bekerjasama dengan Pekin, dia seorang pengarah yang sangat teknikal dan mengambil berat setiap adegan yang dirakam.

"Bagi saya pula, cabaran apabila saya bermula dari kosong iaitu tanpa pengalaman dalam bidang ini tetapi saya belajar menerusi YouTube mengenai cara merakam bunyi dan juga bertanya pada kru produksi," katanya.


Maulana (tengah) gembira dapat bekerjasama dengan Pekin (kanan) dan Faizal menerusi filem KL Wangan. (Gambar: maulanamohamed - Instagram)

Bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan ini turut menyatakan dia suka mencuba perkara baru dan berminat mengambil pengalaman dalam bidang perfileman. Dia juga rakan sekelas Pekin dalam jurusan Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia pernah bekerjasama dalam projek, Madness of Borneo sebelum ini.

    
 
 
Comments



Back to top