Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Ada Apa Dengan Interchange?

Ikuti temubual eksklusif kami bersama pelakon-pelakon filem ini.

0
comments
Ada Apa Dengan Interchange?
Gambar: Impawards.com, wikiwand.com
Interchange adalah buah tangan ketiga daripada sutradara tersohor tanah air, Dain Iskandar Said selepas Bunohan dan Dukun. Ada apa dengan filem ini sehingga menjadi sebutan ramai? Bukan saja di dalam Malaysia malah filem ini juga turut ditayangkan di festival-festival di luar negara. Filem ini turut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat sepertil Iedil Putra sebagai Adam, Shaheizy Sam sebagai Man, Iva lakonan Prisia Nasution, Nicholas Saputra sebagai Belian, Nadiya Nisaa sebagai Sani dan ramai lagi.

Filem yang selesai penggambarannya pada tahun lalu ini mendapat sambutan luar biasa daripada penonton dan penganjur filem festival antarabangsa Locarno di World Premiere pada 5 Ogos lalu. Ia juga dijemput untuk ditayangkan sebagai tayangan perdana Amerika Utara di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada September ini.

Selain itu, Interchange juga dijadualkan menyertai beberapa festival filem antarabangsa seperti BFI London International Film Festival (5-16 Oktober 2016), Sitges International Fantastic Film Festival dan banyak lagi. Apa yang pasti filem ini telah membawa nama industri perfileman Malaysia ke serata dunia!
Ini antara sedutan menarik dalam Interchange yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Disember 2016:



Sinopsis

Filem ini mengisahkan tentang seorang detektif Man dan jurufoto kes jenayah Adam. Mereka terlibat dalam satu siri kes pembunuhan ngeri di sebuah bandar yang dipenuhi dengan rahsia. Kes kematian yang berlaku lima bulan lalu amat mengerikan sehingga memberi igauan ngeri pada Adam.

Sejak dari peristiwa itu, Adam mula berkurung di rumah dan meluangkan masa mengambil foto dari balkoni pangsapurinya. Daripada melakukan aktiviti seharian yang membosankan itu, ia bertukar menjadi sesuatu yang lain. Adam mula mengintip Iva, seorang wanita jelita berasal dari Borneo yang baru sahaja berpindah ke blok hadapan pangsapurinya. Beliau kini dikelilingi misteri, pembunuhan dan huru-hara.

Tatkala Adam dibawa masuk ke dalam dunia puak asli Iva, Man berjaya menyelesaikan kes pembunuhan yang berlaku dan akhirnya berhadapan dengan pelbagai kejadian mistik, ngeri dan dipenuhi dengan kepercayaan dahulukala yang kembali hidup. Ketahui pengakhiran naskah hebat ini di pawagam nanti.

Temubual Eksklusif



Bersempena dengan rangka promosi filem ini, kami sempat menemubual ringkas Iedil Putra yang memegang watak Adam dan Nicholas Saputra sebagai Belian.

1. Apakah perasaan anda bila ‘dilamar’ untuk berlakon dalam filem Interchange?
Iedil Putra: Saya sangat teruja bila ‘dilamar’ oleh Dain Said dan Nandita Solomon. Ketika itu kami bertemu di kedai kopi dan mereka beritahu mahu saya untuk memainkan watak Adam dalam filem ini. Apa yang membuatkan saya kata ya untuk melakonkan filem ini adalah kerana sutradaranya sendiri adalah Dain Said yang kita sendiri tahu penghasilan karya dan idea kreatifnya sentiasa di luar kepompong tipikal fikiran manusia. Peluang yang dapat ini saya tidak mahu sia-siakan.

Nicholas Saputra: Apa yang membuatkan saya bersetuju untuk berlakon dalam filem ini adalah kerana jalan ceritanya. Bila saya baca tentang ceritanya, saya sendiri mahu menonton filem ini. Jadi sudah tentu saya mahu menjadi salah seorang pelakon yang berada dalam filem ini.

2. Apakah perkara yang membuatkan anda tertarik dengan watak diberikan dalam filem ini?
Iedil Putra: Adam dalam cerita ini adalah representasi satu watak yang jarang ada di Malaysia sebenarnya. Waktu diperkenalkan watak ini oleh Dain Said, dia banyak memberikan rujukan tentang filem-filem hero yang ada dan jarang kita tengok dalam cerita-cerita di Malaysia. Saya juga faham yang Adam melalui proses perjalanan yang sangat menarik dan dalamannya yang membuatkan saya tertarik dengan karakter ini.

Nicholas Saputra: Belian bukanlah watak sehari-hari yang biasa. Ia adalah separuh manusia dan separuh lagi semangat haiwan. Jadinya ia seakan kombinasi budaya dan kepercayaan di serata Asia Tenggara. Babak yang paling sukar bagi saya adalah bila Belian bertukar menjadi daripada manusia kepada semangat haiwan dan sebaliknya.

3. Apakah perkara yang paling mencabar buat anda sepanjang sesi pengambaran?
Iedil Putra: 
Saya rasa yang paling mencabar adalah dari segi pemilihan lokasi-lokasi penggambarannya. Membuat filem di Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur bukanlah perkara mudah. Ia adalah lokasi tumpuan orang ramai dan kami perlu menunggu trafik lengang baru kami boleh mulakan sesi penggambaran.

Nicholas Saputra: Ya, saya setuju dengan Iedil. Berkenaan lokasi penggambaran, Dain Said juga punya kelebihan untuk melihat sesuatu lokasi bagaimana ia divisualkan dalam filem. Itu yang beliau mahukan di mana penggambaran berlaku di sekitar Kuala Lumpur, tetapi anda tidak akan nampak seperti kami berlakon di sini.

4. Pengalaman baru yang anda perolehi sepanjang penggambaran filem ini?
Iedil Putra:
Setiap hari ada saja perkara baru yang kami belajar. Satu perkara tentang produksi Interchange, dari proses rehearsal hinggalah ke penggambaran, Dain Said tidak mahu sesuatu yang begitu teknikal. Maksudnya dia memberi peluang kepada pelakon-pelakon untuk memberi pendapat masing-masing. Bila di set, ada momen yang dia terpaksa diubah suai dengan lokasi yang kita dipilih. Ada juga banyak perkara yang we adapt and move on.

Nicholas Saputra: Yes of course. Latarbelakang filem ini sendiri sangat menarik, kami ada buat sedikit kajian dan dapatkan info dalam banyak perkara.

5. Apakah harapan anda kepada filem ini?  
Iedil Putra: Saya mahu kongsikan Interchange dengan semua orang, mengajak seluruh rakyat Malaysia ke pawagam untuk tonton filem ini. Bagi saya jalan ceritanya mudah untuk ‘dihadam’. Pendapat saya, Dain Said telah mengkomersilkan sebuah filem seni sebenarnya dan ia sesuai ditonton untuk semua lapisan masyarakat.

6. Berikan sebab kenapa rakyat Malaysia perlu ke pawagam menonton Interchange?
Nicholas Saputra:
Music is great and picture is beautiful. Juga barisan pelakon yang berdedikasi menjadikan hasil karya berkualiti.
 
Di sebalik Tabir Penggambaran Filem Interchange

 



 
 
Comments



Back to top